“SAYA bukan nak jadi anak derhaka. Saya cuma tak sanggup hendak tengok muka ibu bapa saya yang kecewa,” luah Imran (bukan nama sebenar) kepada Panorama.
Imran merupakan salah seorang pelajar yang mendapat biasiswa sebuah yayasan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.
Sebagai anak kedua dalam keluarga, kejayaan Imran sudah tentu menjadi kebanggaan buat ibu bapanya kerana dia bukan daripada keluarga senang.
Namun, kehidupan di perantauan bukan mudah buat anak nelayan yang tidak pernah sekali pun meninggalkan kampung halaman sepanjang hidupnya.
Dengan tekanan perbezaan budaya serta akademik yang memuncak, Imran didiagnos mengalami depresi dan perlu bergantung pada ubat.
Lebih teruk, Imran tercicir dalam pelajaran apabila dia gagal pada semester keempat, sekali gus menyebabkan biasiswanya ditarik.
Kini, Imran sudah kembali ke tanah air, tetapi dia tidak pulang ke kampung, sebaliknya memilih untuk bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota.
“Ibu bapa saya telah bergolok gadai bagi memastikan saya bersekolah. Saya adalah anak harapan yang akan mengubah kehidupan keluarga.
“Namun, saya gagal mengatasi tekanan di perantauan. Sekarang sudah berada di dalam negara selama enam bulan.
“Saya malu untuk pulang ke kampung. Saya ambil keputusan untuk bekerja di ibu kota sehingga saya bersedia untuk jumpa emak dan ayah,” ujarnya.
Mata Imran berkaca-kaca sewaktu dia bercerita tentang pengorbanan ibu bapanya bagi memastikan dirinya mendapat pendidikan terbaik.
Hasilnya, dia sering meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama sekolah serta dinobatkan sebagai pelajar terbaik tahunan.
Imran turut mengakui bahawa dirinya sering mendapat lebih perhatian daripada ibu bapa berbanding adik-beradiknya yang lain.
Katanya, perkara itu membuatkan dirinya rasa lebih bersalah untuk menghadapi adik-adiknya yang lain.
“Pernah satu ketika, abang mahu ikut rombongan sekolah. Namun, emak kata dia tak ada duit.
“Tetapi sebenarnya, duit tersebut digunakan untuk membeli suplemen yang dikatakan baik untuk perkembangan otak saya.
“Saya tahu abang kecil hati. Namun, saya perlukan suplemen itu untuk mencapai keputusan yang dijangka oleh pihak sekolah dan ibu bapa saya,” katanya.
Disebabkan itu, pulang ke rumah dengan kegagalan bukanlah satu pilihan buat anak kelahiran negeri Pantai Timur tersebut.
Jika diikutkan, Imran masih ada empat semester iaitu bersamaan dua tahun untuk bergraduasi. Justeru, dia mahu tebus semula kegagalannya dengan membina kerjayanya dalam bidang perniagaan di ibu kota terlebih dahulu.
“Walaupun saya gagal dalam bidang kejuruteraan, namun sekarang saya cuba yang terbaik untuk mula berniaga kecil-kecilan.
“Saya masih berhubung dengan mereka sekali-sekala, cuma tidak sekerap dahulu dengan alasan saya sibuk belajar.
“Saya yakin, sekiranya saya pulang dengan kejayaan dalam karier suatu hari nanti, ibu bapa saya pasti ‘sejuk hati’ berbanding saya pulang sekarang.” katanya.















