KEPUTUSAN perbicaraan kes pembunuhan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain baru-baru ini telah menjadi bualan ramai.
Antara isu yang menarik perhatian penulis adalah tindakan 18 orang tertuduh membelasah dan mendera mangsa disebabkan percaya dengan tilikan dilakukan oleh bomoh.
Bomoh berkenaan mendakwa mangsa telah mencuri komputer riba salah seorang tertuduh.
Melalui kajian penulis, ia bukanlah kes pertama dalam mahkamah yang melibatkan penggunaan khidmat bomoh.
Penggunaan bomoh melibatkan kes Datuk Mokhtar Hashim, Francis Anthonysamy dan Vasavan Sathiadew telah berakhir dengan pembunuhan.
Melalui kajian penulis berkaitan undang-undang dan sihir, terdapat banyak kes melibatkan pengamal perubatan tradisional yang menggunakan kaedah menyalahi akidah, syariat, nilai serta adab.
Ia bukan sahaja menimbulkan mudarat dari sudut hubungan sosial dan harta benda, malah melibatkan nyawa individu.
Disebabkan kesan buruk akibat percaya kepada tilikan dan ramalan, Rasulullah SAW telah melarang perbuatan bertemu individu yang didakwa mempunyai kebolehan mengetahui perkara tersembunyi.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang pergi berjumpa tukang tilik, lalu dia meminta kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
Ini kerana, kebanyakan tilikan adalah berpunca daripada bisikan dan perkhabaran ghaib yang disampaikan oleh syaitan.
Sebagai musuh paling ketat kepada manusia, sudah pasti syaitan akan memasukkan pelbagai pembohongan dan tipu daya dalam bisikan tersebut supaya manusia mendapat kecelakaan.
Kepercayaan kepada tilikan dan ramalan ini sangat berbahaya.
Di India dan Afrika, kepercayaan kepada unsur tilikan yang dilakukan oleh seorang bomoh (sangomas) boleh menyebabkan orang dituduh ditangkap dan dibunuh.
Justeru, negara-negara tersebut telah menguatkuasakan beberapa undang-undang untuk menyekat amalan itu.
Antara undang-undang berkenaan ialah Tanzanian Witchcraft Ordinance 1928, Rhodesian Witchcraft Suppression Ordinance 1899 dan South African Witchcraft Suppression Act 1957.
Selain itu, undang-undang lain ialah Bihar Prevention of Witch (Dayan) Practices Act 1999, Jharkhand Anti Witchcraft Act 2001, Odisha Prevention of Witch-hunting Act 2013 dan Rajasthan Prevention of Witch-Hunting Act 2015.
Di Eropah, berlaku satu gerakan memburu dan menghukum pengamal sihir sekitar kurun ke-17 dan 18. Mahkamah pada masa itu mengguna pakai satu kaedah keterangan yang dikenali sebagai spectral evidence (SE).
SE secara umumnya merujuk kepada satu kaedah keterangan, di mana seseorang (khususnya pengamal perubatan tradisional yang dikenali sebagai witch doctor) dikatakan dapat menilik individu pengamal sihir.
Pemakaian SE ini telah menyebabkan beribu-ribu orang awam tidak bersalah dihukum kerana didakwa oleh witch doctor terlibat dalam amalan sihir.
Di Malaysia, perkara yang hampir sama juga berlaku. Khidmat bomoh, pawang atau uskun (ustaz dukun) untuk mengesan barang hilang atau siapa dalang punca penyakit misteri.
Kes Zulfarhan itu adalah satu contoh yang paling terkini. Melalui pengalaman penulis dalam rawatan Islam, ada banyak lagi kes-kes tilikan dan ramalan oleh pengamal perubatan tradisional yang telah mengakibatkan kesan negatif.
Dari sudut perundangan, belum ada satu peruntukan yang boleh menyekat aktiviti ini secara tuntas di Malaysia.
Walaupun Akta Perubatan Tradisional & Komplementari 2016 telah dikuatkuasakan, namun ia tidak mempunyai peruntukan khas untuk menangani kegiatan seumpama ini.
Tugas dan peranan itu diserahkan kepada badan pengamal. Malangnya, ada sesetengah badan pengamal yang menerima kaedah menilik, meramal dalam kaedah rawatan mereka.
Sementara Enakmen Jenayah Syariah di negeri-negeri di Malaysia pula hanya memperuntukkan kesalahan pemujaan tanpa menumpukan kepada isu-isu lain yang lebih memerlukan pembanterasan.
Misalnya, perbuatan menilik, meramal, menyimpan bahan puja dan seumpamanya.
Langkah kerajaan negeri Kelantan mengumumkan penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 yang turut mengandungi kesalahan mengamalkan ilmu sihir di bawah seksyen 4 (1) merupakan satu langkah yang sangat baik.
Penulis percaya pihak berkuasa negeri-negeri lain akan menuruti jejak langkah itu kerana ilmu dan amalan sihir sering menimbulkan masalah dalam masyarakat.
Dalam mendepani isu penerimaan khabar ghaib khususnya berkaitan tilikan orang atau barang, panduan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW adalah yang terbaik. Satu ketika, Nabi SAW telah disihir.
Dua malaikat telah datang memberitahu Baginda bahawa penyihir itu bernama Labib bin A’sam.
Walaupun berita tersebut adalah benar, namun Baginda tidak mengambil tindakan menangkap Labib.
Sebaliknya, Baginda SAW dan sahabat pergi ke perigi Za’rawan iaitu lokasi tempat bahan sihir ditanam.
Apa yang Baginda lakukan adalah satu kaedah terbaik dalam menyiasat dan menyelesaikan isu sihir.
Baginda menekankan bahawa tumpuan perlu diutamakan kepada usaha mencari dan menguraikan simpulan sihir, bukan mencari siapa pelakunya.
Justeru, tilikan dan ramalan yang dilakukan oleh sesiapa sahaja tidak boleh dijadikan sebagai asas untuk menghukum seseorang. Dalam undang-undang, tuduhan perlu dibuktikan.
Tidak memadai hanya dengan percaya kepada perkhabaran ghaib yang diperolehi melalui mimpi, tilikan, bisikan, kasyaf, ilham dan seumpamanya.
Mudah-mudahan kes yang menimpa Zulfarhan menjadi titik tolak untuk pihak berkuasa menggubal undang-undang lebih tekal untuk menangani amalan-amalan khurafat dan tidak masuk akal ini.
Jika tidak, kes seumpama yang berlaku kepada Zulfarhan tidak mustahil akan berulang lagi. Al-Fatihah buat Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.














