MENJADI rutin harian bagi Ismail, 25, (bukan nama sebenar) untuk berulang dari rumahnya di Kampung Sungai Lesong ke tempat kerjanya di sebuah bengkel besi di Mambang Diawan, Kampar, Perak.
Lelaki yang berbadan tegap dan berkulit putih itu telah lama bekerja di bengkel tersebut selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini kerana, keputusan SPM Ismail tidak sebaik mana sehingga menyebabkan dia tidak layak menyambung pengajian lebih tinggi.
Tambahan pula, bapa dan ibunya sekadar bekerja kampung, selain perlu menyara diri yang merupakan anak tunggal dalam keluarga.
“Saya sebenarnya tidak ingin menyusahkan bapa dan ibu. Jadi, saya ambil keputusan untuk bekerja di bengkel kerana terletak berdekatan rumah iaitu kira-kira 9 kilometer.
“Saya masih bujang, masih tiada komitmen cuma perlu bekerja syif sama ada pada waktu siang atau malam.
“Selain itu, bekerja di situ jimat belanja kerana tinggal di rumah keluarga selain hanya menggunakan motosikal Honda C70 milik ayah,” katanya.
Setiap hari, dia perlu melalui jalan agak gelap ke bengkel kerana kurang lampu jalan, selain dikelilingi hutan yang agak menyeramkan terutama pada tengah malam.
Kenderaan tidak banyak melalui jalan itu pada waktu malam. Ironi, Mambang Diawan ialah pekan kecil yang dahulunya dikenali Batang Tonggang.
Lelaki berketurunan Jawa itu biasanya bekerja syif siang seminggu dan syif malam pada minggu seterusnya. Dia bercuti setiap Jumaat.
“Rutin bekerja seperti biasa. Alhamdulillah, saya masih menjaga solat. Jika ada duit lebih, saya akan berikan kepada ibu bapa dan akan belanja mereka makan di restoran.
“Duit banyak mana pun habis, jadi kita belanjakan kepada perkara yang perlu,” ujarnya.
Penulis mengenali Ismail sejak dia berusia 20 tahun. Ismail memang dikenali sebagai seorang pemuda yang ringan tulang dan suka membantu sesiapa sahaja tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Dia masih belum berkahwin kerana takut tidak dapat memberikan yang terbaik kepada bakal isteri dan keluarganya.
Namun, lelaki yang kerap menunaikan solat fardu secara jemaah di surau dan masjid itu sering bermimpi bertemu dengan mambang (bidadari) yang mengajaknya berkahwin serta menetap bersamanya di alam bunian.
“Bidadari itu merupakan seorang wanita yang cantik rupawan, berkulit putih dan mempunyai rambut ikal mayang.
“Wanita itu beritahu, dia masih bujang dan bernama Seri. Dia ingin mengambil saya sebagai suami.
“Saya beritahu, saya bukan seorang yang kaya dan tidak berduit pula.
“Namun, Seri tetap ingin menjadikan saya sebagai suami dan mengajak tinggal bersama.
“Kata Seri, ketuanya akan memilih pemuda baik dari alam nyata untuk dijadikan suami kepada gadis di kampung dan hidup bersama sehingga meninggal dunia,” katanya.
Ismail bertanya kepada Seri, sekiranya dia berkahwin, adakah dia tidak boleh kembali ke alam nyata lagi dan bagaimana untuk menyara anak-anak sekiranya mereka dikurniakan zuriat?
“Seri berkata, semua itu tidak menjadi masalah kerana mereka juga seperti manusia. Mereka mempunyai ladang pertanian, penternakan dan kenderaan sendiri.
“Malah, mereka ada gunakan duit sendiri dan amalkan sistem barter dalam kehidupan seharian cuma syarat utamanya, tidak boleh pulang kembali ke alam nyata,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail menganggap pertemuan dengan Seri itu sekadar mainan tidur dan bukan perkara nyata.
“Namun, saya kerap bermimpi dengan Seri yang sering merayu untuk berkahwin.
“Serba salah jadinya dan saya pun menceritakan perkara itu kepada emak. Emak berkata, tolak pelawaan Seri dengan baik.
“Kata emak, satu hari nanti pasti Seri akan berjumpa dengan saya untuk mendapat kepastian.
“Pada saya, perkara itu mustahil kerana dunia kami berbeza,” katanya.
Pada suatu hari, Ismail bekerja syif malam, namun dia pulang agak lewat iaitu pada pukul 12 tengah malam.
“Saya kena kerja lebih masa pada malam itu. Semasa menunggang motosikal, saya perlu melalui jalan gelap dan mempunyai banyak pokok hutan.
“Tiba-tiba, enjin motosikal mati sebelum meletakkan kenderaan itu di tepi jalan untuk menelefon kawan meminta bantuan.
“Secara tiba-tiba, saya ternampak kelibat wanita cantik bak bidadari keluar dari kawasan hutan yang gelap seperti di awang-awangan.
“Saya terkesima dan dia memperkenalkan diri sebagai Seri.
“Suasana pada masa itu amat dingin, walaupun tidak hujan.
“Selain itu, bau Seri amat wangi biarpun tahi lembu ada merata-rata,” katanya.
Katanya, wanita yang sungguh cantik itu mempelawanya untuk berkahwin dan berharap pelawaan tersebut dapat dipenuhi.
“Namun, saya terpaksa menolaknya kerana lebih suka menetap di alam nyata berbanding bunian.
“Seri menerima pendirian saya, namun berharap saya terus dengan peribadi sebegini dan membuat hubungan baik sesama manusia.
“Peliknya, Seri ada beritahu, tidak lama lagi saya akan mendapat satu khabar gembira yang tidak diduga. Saya hanya tersenyum sebelum rakan sampai untuk mengambil saya dan kami pulang ke rumah.
“Rupa-rupanya, apa yang dikatakan Seri itu benar-benar berlaku kerana emak telah menerima tanah warisan seluas dua hektar milik datuk yang baru meninggal dunia beberapa bulan lalu di Tanjung Malim. Harga tanah itu dianggarkan ratusan ribu ringgit.
“Emak tukarkan geran tanah itu kepada nama saya iaitu satu-satunya zuriatnya.
“Saya bersyukur dan berfikir, mungkin Seri hadir sebagai ujian untuk menguji perlakuan saya supaya terus konsisten dan istiqamah serta tidak alpa dengan kemewahan pada masa depan,” katanya.















