JAKARTA – Seorang pensyarah di Universiti Negeri Yogyakarta (UNY) mengundang kecaman orang ramai kerana memukul seorang mahasiswa pada minggu orientasi, lapor saluran berita Tribun semalam.
Program orientasi dikenali sebagai Pengenalan Kehidupan Kampus bagi Mahasiswa Baru (PKKMB) itu diadakan bagi menyambut pelajar baharu dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial, pensyarah lelaki itu dilihat menghampiri kumpulan pelajar baharu sebelum melakukan kekerasan.
Ketua Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM), Farras Raihan mengesahkan bahawa mangsa dipukul oleh salah seorang pensyarah di UNY.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian siku dan leher. Saya pasti, pelakunya adalah pengajar. Saya sangat mengenali beliau,” kata Farras.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. – AGENSI














