fbpx
Anggota polis berhadapan kumpulan anti pendatang di Bristol, UK.- AFP

Rusuhan di UK sudah ada dalam jadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang berada di kota London setakat ini berada dalam keadaan selamat serta tidak ­terancam meskipun terdapat rusuhan ekoran insiden pembunuhan kanak-kanak Isnin lalu di Southport, berhampiran Liverpool yang terletak di pantai barat laut England.

Menurut seorang rakyat Malaysia, Redzuan Abdullah, 50, yang menetap di barat London, setakat ini rusuhan yang berlaku bukanlah di seluruh negara se­perti didakwa, tetapi melibatkan sebahagian tempat khususnya di bahagian Midlands.

Redzuan yang menetap selama 10 tahun di London berkata, dia masih boleh keluar se­perti hari-hari biasa ekoran tiada ancaman daripada pihak yang ­melakukan protes.

Setakat ini, katanya, dia dan rakyat Malaysia lain di London berada dalam keadaan selamat.

“Tiada sebarang insiden kekerasan berlaku seperti kereta atau rumah kena pecah dimaklumkan dalam kumpulan komuniti kami di sini.

“Ramai terkesan adalah di Midlands, namun hanya sebilangan rakyat Malaysia duduk di sana. Alhamdulillah tiada sebarang ancaman sebab pihak yang melakukan rusuhan ini, bukannya menyasarkan semua pendatang atau pun orang Islam sahaja.

“Kebanyakan yang disasarkan adalah pendatang yang tidak boleh menyesuaikan diri dengan komuniti seperti bercakap bahasa Inggeris pun tidak tahu.

“Rusuhan itu bukan berlaku di semua tempat dan pada semua pihak. Malah, rusuhan ni pun bukan berlaku setiap masa. Dah ada jadual-­jadual mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Redzuan

Tambah Redzuan yang ­mengusahakan sebuah syarikat agensi pelancongan, kejadian rusuhan itu membuatkan para pelanggan yang sudah membuat tempahan, melahirkan rasa kebimbangan untuk datang bercuti ke United Kingdom (UK).

Namun, Redzuan memaklumkan, dia akan memberikan perkembangan dari semasa ke semasa selain menghindari tempat-tempat berisiko terjadinya rusuhan dan kekacauan.

Terdahulu pada Ahad lepas, pihak berkuasa UK berhadapan tekanan yang semakin meningkat untuk menamatkan rusuhan terburuk England dalam tempoh 13 tahun yang melibatkan perusuh sayap kanan di seluruh negara.

Pergolakan berkaitan maklumat yang salah mengenai insiden tikaman beramai-ramai yang membunuh tiga kanak-kanak perempuan minggu lalu merebak ke beberapa pekan dan bandar pada Sabtu lalu ketika penunjuk perasaan antiimigran bertempur dengan polis.

Kira-kira 90 orang telah ditangkap selepas pertempuran meletus di perhimpunan ­paling kanan di banyak tempat termasuk Liverpool, Manchester, Bristol, Blackpool dan Hull serta Belfast di Ireland Utara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN