KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bercadang menubuhkan Pusat Kajian Penyakit Berjangkit dalam tempoh terdekat.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pusat kajian tersebut berperanan melakukan kajian terhadap pelbagai penyakit berjangkit seperti Covid-19 sekali gus membantu kerajaan mencari solusi dan langkah pencegahan.
“Kita tahu penyakit berjangkit tidak akan berhenti dan akan ada lagi kes-kes baru pada masa depan.
“Sehubungan itu, penubuhan Pusat Kajian Penyakit Berjangkit yang lengkap dengan makmal membolehkan penyelidikan dilakukan,” katanya di sini hari ini.
Hassan Basri berkata, pihaknya telah menyiapkan kertas cadangan berhubung penubuhan pusat kajian terbabit yang bakal diketuai Dekan Fakulti Perubatan UniSZA.
Tambahnya, idea penubuhan Pusat Kajian Penyakit Berjangkit yang dijangka menelan belanja jutaan ringgit itu timbul setelah UniSZA membangunkan aplikasi Sistem Penilaian Risiko dan Pengawasan Kesihatan (Chase) berikutan penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun ini.
“Tujuh artikel berhubung simptom dan trend yang terdapat dalam Covid-19 telah dihasilkan penyelidik UniSZa berikutan pembangunan kedua-dua aplikasi berkenaan.
“Kajian terbabit bukan sahaja bermanfaat untuk menambah kefahaman masyarakat tentang Covid-19 malah membantu kerajaan menangani pandemik berkenaan,” katanya. – K! ONLINE