SUNGAI PETANI – “Gembira dapat panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan anak perempuan saya ada di rumahnya, namun perasaan itu bertukar sedih selepas panggilan kedua pula beritahu anak saya telah melarikan diri semula.”
Itu kata Abdul Rahman Jaafar, 50, bapa kepada Nur Dini Hayati, 18, remaja perempuan yang dalam pencarian selepas menghilangkan diri sejak seminggu lalu.
Kata pesara tentera itu, petang kelmarin dia menerima panggilan daripada seorang remaja lelaki yang memaklumkan anak perempuannya telah datang ke rumahnya di Lunas, Kulim.
“Saya sempat berbual dengan lelaki itu yang mengakui dia merupakan kenalan Nur Dini melalui media sosial.
“Lelaki itu terkejut dengan kehadiran anak saya ke rumahnya sebelum bertindak menghubungi saya secara senyap-senyap,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, selepas menerima panggilan itu, dia menyuruh isterinya mengambil Nur Dini, namun perasaan gembira bertukar sedih selepas beberapa minit kemudian menerima panggilan kedua daripada remaja lelaki yang sama.
“Dia beritahu Nur Dini terdengar perbualan kami sebelum meninggalkan rumahnya dengan menunggang motosikal ke arah Sungai Petani.
“Saya percaya anak perempuan saya itu berbuat demikian kerana takut dimarahi selepas lari dari rumah sejak Jumaat lalu. Kami akan terus mencarinya lagi,” ujarnya.
Berita berkaitan: Nur Dini, Nurul Fatihah, Nur Aina di mana kamu?















