KUALA TERENGGANU – Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron menasihatkan umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan kisah kononnya Nabi Khidir pernah bersandar di sebatang tiang sebuah surau berhampiran pusara ulama terkenal, Tokku Paloh di sini.
Beliau berkata, kebenaran dakwaan itu tidak diketahui kebenarannya dan tidak bersandarkan bukti kukuh.
“Umat Islam perlu berhati-hati dengan sebarang dakwaan yang melibatkan kepercayaan tanpa bukti yang kukuh.
“Saya bimbang ia mendorong ketaksuban segelintir pihak ekoran dakwaan-dakwaan seumpama in,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan siasatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) mendapati dakwaan Nabi Khidir pernah bersandar pada sebatang tiang surau sewaktu bertemu Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman Sayid Muhammad al-Idrus adalah tidak sahih.
Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Mamat berkata, siasatan juga mendapati video memaparkan beberapa individu mengusap tiang surau tersebut merupakan kes lama yang berlaku antara empat dan lima tahun lalu.
Terdahulu umat Islam terutama di bandar raya ini kurang senang dengan perbuatan kononnya untuk mengambil ‘berkat’ Nabi Khidir berkenaan yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam.
Dalam pada masa, Mohamad Sabri turut menasihatkan orang ramai menjaga adab sebagai muslim dengan tidak mudah mengecam atau melabel bukan-bukan terhadap individu yang dipaparkan dalam video berkenaan.
“Kita tidak boleh kata (tuduh) orang yang berkunjung (ke surau itu) kerana percaya dakwaan Nabi Khidir
pernah bersandar pada tiang tersebut.
“Mungkin mereka pergi kerana hendak melihat sendiri dan memikirkan logik di sebalik dakwaan itu bukan sebab taksub semata,” katanya.














