TINDAKAN seorang pempengaruh TikTok yang ditemui mati dipercayai akibat buli siber baru-baru ini membuktikan betapa besarnya kesan buli siber terhadap seseorang mangsa.
Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha dilaporkan mengambil nyawa sendiri sehari selepas membuat laporan polis berkenaan ugutan yang diterima di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, terdapat netizen yang mempersoalkan tentang tahap ketahanan mental sebenar Esha yang menyumbang kepada keputusan tersebut.
Ini kerana, jika dilihat dengan teliti, isu buli siber turut berlaku kepada pempengaruh lain.
Antaranya Kasih Iris Leona yang sering diejek berkenaan pemakaiannya yang seksi dan ketidakfasihannya bertutur dalam bahasa Melayu.
Namun, gadis berusia 22 tahun itu bukan sahaja mampu mengabaikan komen negatif yang dilemparkan kepadanya, malah mampu terus tampil di media sosial.
Terdapat juga sesetengah pempengaruh yang menjadikan ‘kecaman’ sebagai modal untuk mereka mendapatkan lebih tontonan dan ‘keuntungan’.
Ini menimbulkan persoalan sama ada kunci sebenar isu tersebut adalah kekurangan ketahanan mental seseorang individu berbanding buli siber itu sendiri.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad bersetuju bahawa ketahanan mental atau inner voice seseorang memainkan peranan penting mereka mengatasi buli siber.
“Kes Rajeswary Appahu menunjukkan kesan ekstrem yang mana tekanan emosi dialaminya membawa kepada tindakan membunuh diri.
“Sementara Kasih Iris Leona menunjukkan ketahanan mental yang kuat apabila mampu mengabaikan komen negatif,” katanya.
Bagaimanapun, Fauziah menegaskan, buli siber tetap perlu dipandang serius kerana tidak semua individu mempunyai ketahanan mental yang sama.
Katanya, buli siber boleh menyebabkan gangguan kesihatan mental jangka panjang seperti kemurungan, gangguan kecemasan dan post-traumatic stress disorder (PTSD).
“Mangsa yang terkesan berkemungkinan menarik diri dari kehidupan sosial, kehilangan kawan dan berasa terasing.
“Oleh itu, penting untuk seseorang individu itu memiliki sistem sokongan yang kuat bagi membantu mereka atasi fikiran negatif.
“Cara ini seterusnya mampu mengelakkan mereka menjurus kepada tindakan negatif tersebut,” ujarnya.
Tambah Fauziah, seseorang itu memerlukan pendekatan yang holistik untuk meningkatkan kekuatan inner voice dalam mengatasi tekanan buli siber.
Ujarnya lagi, selain melibatkan ketahanan mental dan sokongan sosial, individu harus tahu cara mengawal penggunaan media sosial serta tidak takut untuk mengambil tindakan terhadap pembuli.
“Ambil masa untuk berehat dari media sosial jika tekanan daripadanya menjadi terlalu berat untuk ditangani.
“Laporkan kes buli siber kepada platform media sosial atau pihak berkuasa jika perlu,” ujarnya.














