SHAH ALAM – Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) belum menerima kenyataan bertulis Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berhubung fakta ceramah agama yang dibuatnya sebelum ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pendakwah selebriti itu belum mengemukakan jawapan bertulis berkenaan setakat ini dan setiausaha jawatankuasa berkenaan masih menunggunya bagi tindakan selanjut.
“Selepas menerimanya kelak, ia akan diteliti dan beliau (Ustaz Don Daniyal) tidak akan dipanggil jika jawapan itu memadai.
“Namun, sehingga kini jawapan itu belum diterima dan jawatankuasa masih menunggunya,” katanya ringkas ketika ditemui malam tadi.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Selangor 1446H/2024M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan penganugerahan tokoh itu kepada bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr. Abdul Majid Omar.
Kosmo! pada 27 Jun lalu melaporkan Ustaz Don diberikan tempoh selama 14 hari bagi memberi kenyataan bertulis selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Langkah itu dilakukan agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap penceramah berkenaan. – KOSMO! ONLINE














