KUALA TERENGGANU – Seramai lebih 400 peniaga Pasar Besar Kedai Payang yang bakal berpindah ke kompleks baharu pada awal bulan depan dikejutkan dengan kenaikan kadar sewa baharu hampir 400 peratus.
Mereka yang terdiri peniaga kedai emas, barangan dapur, cenderamata dan pakaian mendakwa ia bertentangan dengan janji Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 28 Mei lalu yang mengumumkan kenaikan maksimum bakal dikenakan cuma RM50.
Salah seorang peniaga terlibat, Saripah Ahmad, 41, yang berniaga barangan dapur mendakwa kadar sewa sebelum ini cuma RM110 sebulan.
“Terkejut kami apabila menerima notis pemberitahuan MBKT itu pada kelmarin (Ahad). Sebelum ini ingatkan kenaikan RM50 tetapi rupa-rupanya kadar sewa bulanan baharu ditetapkan RM400.
“Bukan kami tidak faham keperluan untuk naik sewa tetapi ia terlalu tinggi dan drastik,” dakwanya ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang di sini semalam.
Saripah mendakwa, bayaran deposit RM3,530 termasuk kos pemasangan papan iklan berjumlah RM1,600 untuk kemasukan ke premis baharu juga amat membebankan.
Dia mendakwa, walaupun sudah boleh mengambil kunci premis baharu mulai 1 Jun lalu, namun ramai peniaga belum lagi melakukannya kerana tidak mampu bayar sepenuhnya bayaran deposit tersebut.
“Perniagaan di Pasar Besar Kedai Payang ini ada pasang surutnya. Pengunjung hanya ramai pada musim cuti persekolahan, kalau hari biasa, kadangkala tiada satu pun barangan dapur saya terjual seharian.
“Sehubungan itu, kami merayu MBKT mempertimbangkan semula kenaikan sewa baharu pada kadar yang lebih munasabah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Kedai Payang dan Bazar Warisan, Ahmad Sukri Abdullah berkata, pihaknya telah mengemukakan rayuan rasmi berhubung kadar baharu sewaan kepada MBKT.














