GEORGE TOWN – Haram dan berdosa besar jika seseorang lelaki menghasut isteri orang supaya menuntut cerai daripada suaminya semata-mata mahu berkahwin dengannya.
Bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, kejahilan agama sering menyebabkan seseorang Muslim melanggar hukum-hukum Islam.
Menurutnya, pelanggaran itu termasuk dalam pelbagai hal ehwal berkaitan kehidupan suami isteri dan hubungan sosial antara sesama masyarakat Islam.
“Contohnya, tindakan untuk memisahkan antara pasangan suami isteri sama ada menerusi perbuatan sihir atau cara menghasut si isteri supaya menuntut cerai daripada suaminya.
“Tujuan penghasut berbuat demikian adalah untuk membolehkan dirinya mengahwini wanita berkenaan. Perbuatan sebegini termasuk dalam dosa besar yang dilarang agama Islam,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Beliau menjelaskan, berdasarkan sebuah hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bukan umat kami seseorang yang memperdaya seorang wanita (dengan menyebut keburukan suami agar dibencinya dan menuntut diceraikan untuk dinikahinya).”
Katanya, sedangkan bertunang di atas tunangan orang lain pun dilarang dalam Islam, inikan pula merampas seorang isteri daripada suaminya.
“Justeru, ramai fuqaha’ berpandangan adalah haram atas lelaki yang menghasut itu mengahwini wanita yang dihasutnya untuk bercerai dengan suaminya.
“Memang agama Islam mengizinkan seorang lelaki berpoligami, namun dikenakan syarat melakukan keadilan terhadap para isteri di sudut nafkah dan giliran bermalam,” ujarnya.
Jelas Wan Salim lagi, seorang lelaki yang tidak berkemampuan baik di sudut kewangan mahupun fizikal adalah haram mengahwini lebih daripada seorang isteri.
“Adalah lebih dilarang dan lebih besar dosanya seseorang yang ingin menambah bilangan isterinya dengan cara merampas isteri orang lain atau dengan menghasutnya supaya menuntut diceraikan oleh suaminya,” tambahnya.














