Aktiviti memasak sambil melepak bersama rakan-rakan semestinya akan memberikan memori manis dan menceriakan, namun pemilihan lokasi haruslah tepat dan tidak membahayakan keselamatan orang ramai.
Gempar di media sosial baru-baru ini aktiviti sekumpulan pemilik kenderaan jenis Honda Jazz seolah-olah tidak berfikir panjang apabila ‘berkelah’ sambil memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands.
Lebih menjanggalkan apabila tiada seorang pun daripada kumpulan itu yang tampil menegur si ‘tukang masak’.
Tidak cukup dengan itu, aktiviti tersebut turut dimuat naik di media sosial.
Sekiranya berlaku perkara tidak diingini, berapa ramai nyawa yang tidak berdosa terkorban memandangkan stesen minyak adalah antara lokasi paling berisiko.
Penulis tidak terkejut sekiranya orang ramai tidak berpuas hati dengan tindakan itu, malah turut mempersoalkan tahap kesedaran generasi muda tentang risiko bencana.
Menurut Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd., Shairan Huzani, memasak berhampiran stesen minyak adalah berisiko tinggi.
Beliau menerusi akaun Instagram @pakcikshell berkata, terdapat risiko wap minyak merebak sejauh 10 meter dari pam petrol yang boleh mendatangkan bahaya sekiranya memasak di dalam premis tersebut.
“Ada yang kata, ‘jauh dari pam tak apa’. Jangan! kerana wap minyak boleh mengalir sejauh 10 meter dari punca seperti pam, tempat turun minyak dan vent pipe,” katanya.
Public Health Malaysia (PHM) turut memaklumkan percikan api merupakan elemen penting yang mampu mencetuskan kebakaran selain bahan api (petrol) dan oksigen.
“Di Malaysia, stesen petrol adalah hab tumpuan pengunjung untuk ke tandas, surau, mengeluarkan wang dan membeli-belah.
“Sekiranya berlaku bencana kebakaran ramai mangsa yang akan terlibat,” katanya.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bertindak mendakwa di mahkamah empat daripada 15 orang yang ditahan untuk siasatan berkait kegiatan memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands.
Individu itu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia 23 hingga 24 tahun.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan (perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain).
Justeru itu, penulis berpendapat kemungkinan kumpulan individu tersebut tersilap langkah apabila menjadikan stesen minyak sebagai tempat untuk berkumpul dan melepak.
Meskipun stesen minyak tersebut antara lokasi ‘viral’ dikunjungi sekiranya menuju kearah Genting Highland, namun ia hanya sesuai untuk bergambar dan bukannya sebagai tempat melepak apatah lagi memasak.
Bagi mereka yang suka untuk melakukan aktiviti bersama rakan-rakan, jadikan perkara ini sebagai iktibar supaya situasi sama tidak berulang pada masa akan datang.
Sebaliknya, jika mahu melakukan aktiviti seperti memasak perlulah ke tempat yang sepatutnya seperti di kawasan tanah lapang atau tempat yang memang disediakan untuk aktiviti tersebut dan bukannya tempat yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.














