Semakin meningkat usia, semakin kita mendambakan kehidupan yang tenang dan damai tanpa perlu memikirkan masalah berat membelenggu diri.
Ramai yang menginginkan hidup tanpa bebanan hutang yang membelit diri selepas mengharungi kehidupan selepas bersara.
Juga dapat meninggalkan dunia pekerjaan tanpa perlu memikirkan tekanan yang dihadapi saban hari di pejabat yang kadangkala menyesakkan dada.
Ramai juga yang berkira-kira mahu membina rumah di kampung, duduk diam-diam dan menumpukan perhatian untuk beribadat dengan ke masjid setip kali masuk waktu solat.
Sebenarnya pada usia melepasi 50 tahun, apa lagi yang kita mahu kejar, wang, pangkat, harta atau kemewahan berganda?
Semua itu adalah dunia yang tidak terkejar oleh umur kalau mahu diikutkan.
Ini bukan bermakna mahu menafikan tuntutan duniawi, tetapi ia pasti akan ditinggalkan satu ketika kelak yang dibawa hanya amalan baik untuk bertemu Allah.
Mungkin inilah masa terbaik untuk kita ‘top up’ mana-mana yang lopong dek ketika usia muda kita banyak lalai dalam melakukan ibadat kepada Allah.
Namun, bukan semua orang dapat merealisasikan impian tersebut jika tidak bersedia dari awal.
Ramai yang terpaksa bekerja semula selepas usia persaraan disebabkan masih banyak komitmen yang perlu diselesaikan.
Apa yang paling utama jika mahu bersara dengan hati yang lapang dan tenang adalah persiapan kewangan dengan memastikan hutang dapat dilunaskan pada sekian waktu sebelum bersara.
Kita boleh mula mengurangkan bebanan hutang apabila usia semakin meningkat termasuk mengurangkan pembelian barangan secara hutang.
Paling penting perlu menjaga kesihatan, jangan pada usia tua baru mula nak jaga makan, dibimbangi kita akan berhabis wang untuk rawatan di hospital dan kos ubat-ubatan.
Dalam pada itu, anak-anak memainkan peranan dalam merealisasikan impian ibu bapa untuk kekal tenang di usia tua dengan member ruang bagi mereka menghabiskan sisa-sisa hidup dengan apa yang diinginkan.
Penting bagi anak-anak tidak lagi bergantung kepada ibu bapa dan mula berdikari untuk mencari wang sendiri apabila sudah menginjak dewasa.














