fbpx
Badan Aishah ditindih lembaga hitam bertubuh besar dan berbulu lebat ketika tidur di rumah baharunya. – Ilustrasi Shah Hasan

Tubuh tak bergerak ditindih lembaga hitam ketika tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELBAGAI kisah seram dan mistik sering kita dengar dari semasa ke semasa sama ada menerusi cerita lisan atau penceritaan berbentuk audio, visual dan penulisan.

Sebahagian daripadanya, mungkin kelihatan seakan-akan benar terjadi. Ada juga kisah yang dilihat tidak lebih daripada sekadar sebuah cerita rekaan semata-mata.

Namun, bagi Aishah (bukan nama sebenar), dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa gangguan makhluk halus sememangnya wujud setelah mengalami sendiri situasi seram terbabit.

Memulakan cerita, Aishah yang kini berusia 35 tahun memberitahu, kejadian mistik tersebut berlaku kira-kira 10 tahun lalu ketika dia berpindah masuk ke kuarters di sebuah kem tentera di Pahang.

Jelas isteri kepada anggota tentera itu, dia tidak mempunyai pilihan, selain mengikuti ke suaminya berpindah ke tempat kerja baharu di kem tersebut.

“Ketika itu, suami saya masih berpangkat rendah. Disebabkan itu, kami tidak mampu menyewa rumah melainkan tinggal di kuarters tentera di dalam kem.

“Lagi pula, saya baru sahaja melahirkan anak sulung yang ketika itu berusia lima bulan. Sudah pasti, ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Oleh itu, keputusan untuk tinggal di kuarters berbanding menyewa rumah di luar kem mampu menjimatkan perbelanjaan bulanan kami,” katanya.

Cerita Aishah, pada minggu pertama mendiami rumah tersebut yang terletak di tingkat lima pangsapuri berkenaan, dia sudah dapat merasakan kelainan.

Ujarnya, anaknya juga kerap menangis terutama pada waktu malam.

Maklumnya, kedudukan pangsapuri tersebut yang terletak di hujung jalan dan bersebelahan kawasan hutan membuatkan keadaan di situ sedikit seram.

“Pada mulanya, saya berpandangan anak kerap menangis pada waktu malam disebabkan cuaca panas ketika itu sehingga menyebabkan suhu di dalam rumah tinggi.

Bagaimanapun, selepas pendingin hawa dipasang di bilik tidur utama, anaknya masih juga menangis, sekali gus menyebabkan Aishah mengesyaki ada sesuatu tidak kena di rumah tersebut.

“Sangkaan saya bahawa terdapat gangguan makhluk halus di rumah berkenaan adalah benar.

“Ia selepas saya sendiri berhadapan dengan situasi seram tersebut.

“Pada suatu malam, saya terjaga daripada tidur kira-kira pukul 2 pagi dan terasa tubuh seperti tidak dapat bergerak.

“Sebaik membuka mata, saya dapat melihat seakan-akan satu lembaga hitam bertubuh besar dan berbulu lebat sedang menindih badan saya.

“Ketika itu, saya cuba menjerit dengan sekuat hati untuk mengejutkan suami yang sedang tidur di sebelah.

“Namun, jeritan saya tidak berhasil sehingga menyebabkan saya memejamkan mata dan membaca sebanyak mungkin ayat al-Quran,” katanya.

Ujar Aishah, selepas lima minit berlalu, dia mula merasakan tubuh badannya kembali dapat bergerak, sekali gus menyebabkan dia bingkas bangun dan menggerakkan suami.

Setelah menceritakan kejadian yang menimpa dirinya, suami Aishah telah menghubungi seorang ustaz yang bertugas di sebuah masjid berdekatan kem tentera itu untuk mendapatkan bantuan.

Menurut ustaz tersebut, lembaga hitam berkenaan sebelum ini dikesan mendiami sebatang pokok besar yang terletak bersebelahan pangsapuri tersebut.

Disebabkan terdapat penghuni lain pernah diganggu oleh lembaga berkenaan, maka pokok besar tersebut telah ditebang beberapa minggu sebelum Aishah berpindah masuk ke pangsapuri itu.

Jelas ustaz tersebut, berkemungkinan gangguan terbaharu itu berlaku disebabkan rasa tidak puas hati lembaga tersebut terhadap tindakan pengurusan kem menebang pokok yang menjadi tempat tinggalnya.

Tambah Aishah, berikutan itu pelbagai usaha dilakukan termasuk ‘memindahkan’ makhluk halus tersebut ke tempat baharu yang terletak jauh di dalam hutan.

Selepas itu, tiada lagi gangguan berlaku terhadap penghuni pangsapuri tersebut termasuk dirinya.

Malah kata Aishah, anaknya juga kembali tidur dengan lena, sekali gus menyebabkan perancangannya untuk berpindah ke kediaman lain dibatalkan.

Katanya, dia juga beruntung kerana setelah suaminya dinaikkan pangkat sebagai pegawai, mereka kemudian ditawarkan untuk berpindah ke kuarters baharu.

“Ini secara tidak langsung dapat menghindarkan diri kami daripada berhadapan dengan gangguan lembaga hitam terbabit lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN