fbpx
Rama menunjukkan kegiatan penerokaan tanah yang dijalankan berhampiran Kampung Mendrod, Pos Brooke, Gua Musang.

Kebun makin sempit gara-gara musang king

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Lebih 500 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Mendrod, Pos Brooke di sini hidup dalam keresahan apabila tanah kebun mereka sema­kin sempit ekoran pembukaan tanah bagi penanaman durian musang king.

Penduduk mendakwa, pene­rokaan tanah giat dijalankan berhampiran kawasan penempatan mereka sejak dua tahun lalu.

Seorang penduduk, Rama Ajom, 44, berkata, penduduk kini bimbang apabila kebun dan kampung terbabit semakin terhimpit dengan pembukaan ladang itu selain keadaan itu menyaksikan pendapatan penduduk semakin berkurangan ekoran sumber hutan terjejas.

“Kini, penduduk hanya bergantung hidup dengan sumber pertanian yang diusahakan di sekitar rumah seperti ubi kayu, tebu dan pisang sebagai sumber makanan keluarga kami.

“Selain itu, ada juga yang mengambil upah memotong getah dan membuat pekerjaan lain untuk menyara keluarga.

“Saya harap ada penyelesaikan terbaik untuk membantu kami masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman ini yang se­ring terlibat dengan aktiviti pene­rokaan tanah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Sarudin Johari, 30, berkata, keadaan Kampung Mendrod kini umpama seperti pulau apabila tersepit dengan pembukaan tanah untuk aktiviti pertanian sayur dan ladang musang king.

Katanya, selain menghadapi masalah sumber pendapatan yang berkurang akibat ketia­daan hasil hutan, mereka juga risau tentang nasib dan masa depan anak-anak yang masih kecil.

“Akibat penerokaan hutan untuk pertanian menyebabkan kami sering berdepan dengan gangguan haiwan liar seperti gajah dan harimau belang.

“Hanya tinggal sedikit tanaman yang diusahakan penduduk seperti pokok buah-buahan dan ubi kayu untuk dijual ketika ini. Jika ia habis, kami tidak tahu macam mana untuk cari makan selepas ini,” katanya.

Penghulu Kam­pung Mendrod, Alang Busu berkata, kawasan perkampungan yang dihuni sejak turun-temurun terdedah dengan kegiatan pertanian ko­mersial sehingga menjejaskan kehidupan harian.

Katanya, mereka berharap agar penerokaan kawasan hutan dapat dikawal demi kelangsu­ngan hidup anak-anak mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN