fbpx
GOLONGAN OKU pendengaran boleh mendalami al-Quran dengan lebih mudah menerusi aplikasi Quran Isyarat.

OKU pekak, bisu baca al-Quran dengan bahasa isyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN selepas memeluk Islam pada tahun 2010 telah membuka mata wanita itu tentang keindahan agama Allah SWT dan membuatkan dirinya mahu mendalami ilmu fardu ain dan al-Quran.

Memandangkan dirinya merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, maka terdapat masalah dalam pengajian agama Islam buat golongan sepertinya terutamanya pengajian al-Quran.

Menurut guru al-Quran isyarat, Nur Hidayah Qanie Abdullah, 36, sekitar tahun 2010, dia tidak mempunyai masalah untuk belajar ilmu berkaitan fardu ain, namun berdepan kesukaran mencari kelas mendalami al-Quran buat golongan sepertinya.

“Semasa mula-mula memeluk Islam, saya belajar tentang agama secara perlahan-lahan.

“Saya dapati ada beberapa pendakwah pekak mengajar ilmu fardu ain, namun tidak ada yang mengajar al-Quran.

“Oleh sebab itu, saya mengambil inisiatif untuk belajar tentang al-Quran buat OKU pekak bermula dengan kaedah Fakih.

“Kemudian, saya menyertai Online Tadarus Tanpa Suara (OTTS) sebagai peserta sejak 2020 sehingga kini,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Tambahnya, OTTS dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (Ummi), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Faqeh).

Ujar wanita berasal dari Sabah itu, kesukaran mendapatkan pendidikan al-Quran bagi golongan OKU pekak telah memberi inspirasi kepadanya untuk mendalami al-Quran isyarat dan berkongsi ilmu tersebut kepada mereka memerlukan.

Tambahan pula, dia mempunyai suami OKU pendengaran dan mereka sama-sama belajar mendalami ilmu al-Quran menerusi aplikasi Quran Isyarat yang dibangunkan oleh USIM melalui Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS).

Idea mewujudkan Quran Isyarat bermula daripada saranan seorang panel dalam Simposium Khidmat al-Quran dan Sunnah bagi OKU pada tahun 2015, yang juga merupakan Presiden Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA), Sariah ibrahim.

Saranan itu diterima baik oleh Pengarah Ummi, Prof. Madya Dr. Norakyairee Mohd. Raus yang kemudian menjadikannya sebagai projek tahun akhir pelajar FPQS sesi 2015/2016.

Norakyairee (tengah) bersama pasukan penyelidik USIM menunjukkan pengiktirafan daripada MBOR untuk aplikasi Quran Isyarat.
– AFIQ RAZALI

Projek itu melibatkan 15 orang pelajar dengan menjalankan kajian dan mencipta perisian courseware interaktif pembelajaran Quran dan Solat (iSign QurANIS) pada 2017.

Melihat kepada potensi menjadi medium pembelajaran al-Quran buat golongan OKU pendengaran, perisian itu kemudian dibangunkan kepada bentuk aplikasi dengan kandungan 30 juzuk kaedah Tilawah Quran bersama isyarat kod tangan Quran dan transliterasi makhraj.

Aplikasi tersebut turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai First Sign Language al-Quran Application.

“Aplikasi Quran Isyarat ini merupakan alat bantu mengajar yang dilengkapi dengan dua pecahan kandungan iaitu panduan asas isyarat kod tangan untuk 35 huruf hijaiyah Arab dan cara OKU pekak membaca al-Quran serta terjemahan surah-surah dalam bahasa isyarat.

“Dalam pembangunan kandungan ini, kami telah mendapat maklum balas daripada Persatuan Orang Pekak Muslim Malaysia (Prisma) dan NESDA untuk menambah baik kandungan agar mudah difahami oleh golongan OKU pendengaran,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, aplikasi Quran Isyarat telah dilengkapi dengan panduan visual bacaan tilawah isyarat untuk 30 juzuk dan terjemahan dalam bahasa isyarat bagi surah-surah dalam juzuk 30.

Jelasnya, pihaknya bersama penyelidik di Ummi sedang berusaha melengkapkan baki terjemahan bagi surah-surah dalam 29 juzuk al-Quran.

Kongsinya, terjemahan al-Quran untuk golongan OKU pendengaran berbeza daripada terjemahan biasa kerana ia perlu dipermudahkan dari segi pemahaman dalam bentuk isyarat tangan.

Hal ini berikutan isyarat tangan adalah bahasa setempat, di mana ada beberapa kod tangan berbeza mengikut negeri mahupun negara.

Oleh itu, terjemahan perlu selaras dalam bahasa isyarat yang difahami secara umum.

Dengan adanya aplikasi Quran Isyarat yang boleh dimuat turun menerusi platform Android dan iOS, golongan OKU pendengaran kini mempunyai akses kepada pengajian al-Quran.

Malah, pengajian tersebut semakin berkembang dalam komuniti menerusi pelbagai program yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan dan USIM.

Antaranya adalah seperti OTTS, majlis tilawah al-Quran bersama golongan OKU dan sebagainya.

PEMBELAJARAN al-Quran untuk golongan OKU pendengaran adalah berbeza dengan orang normal.

Terdapat juga kelas dan pengajian bagi melatih qari dan qariah Quran Isyarat untuk mengajar ilmu al-Quran dalam komuniti masing-masing.

Salah seorang pengkaji dan guru al-Quran isyarat, Nur Amalina Azhar, 30, berkata, dalam pembelajaran al-Quran isyarat, pelajar akan melalui empat peringkat pengajian iaitu mengenal huruf, menghafal surah, membaca dengan isyarat dan memahami kandungan al-Quran.

“Keempat-empat peringkat ini merupakan proses pembelajaran buat golongan OKU pendengaran.

“Jadi, mereka bukan hanya mengenal huruf bahasa isyarat, malah memahami al-Quran seperti orang biasa.

“Selain menggunakan aplikasi sebagai panduan, mereka juga akan diajar menggunakan alat bantu mengajar.

“Misalnya, latihan susunan ayat dan menulis semula ayat-ayat dalam susunan yang betul,” ujar wanita berasal dari Bangi, Selangor itu.

Katanya lagi, golongan OKU pendengaran juga akan diajar sehingga mereka khatam al-Quran.

Bagaimanapun, bagi yang ingin menjadi pengajar, mereka perlu mendapatkan pentauliahan.

Kongsinya lagi, pembelajaran al-Quran bagi golongan OKU pendengaran tidaklah sukar, namun perlu ada kesabaran kerana mereka hanya menggunakan bahasa isyarat.

“Tempoh pengajian adalah berbeza mengikut keupayaan golongan OKU.

“Ada antara mereka mengambil masa setengah jam hingga sejam untuk membaca satu muka surat al-Quran.

“Dengan pelbagai alat bantu belajar dan rujukan daripada qari bertauliah di media sosial, OKU pendengaran mempunyai lebih banyak akses untuk faham dan belajar al-Quran,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN