LEBIH tiga dekad lantang berkokok dalam arena seni hiburan tanah air, hampir mustahil jika ada khalayak tidak mengenali penyanyi dan komposer terkenal bernama Ajai.
Mana tidaknya, genius muzik pemilik nama penuh Mohd. Faizal Maas itu dalam menghasilkan lirik puitis dan bunyi-bunyian mahal sentiasa didambakan deretan penyanyi.
Boleh dikatakan rata-rata penghibur yang mekar melakar nama pernah berjaya dengan nukilannya, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Dayang Nurfaizah, Kris Dayanti, Misha Omar, Ella dan Hafiz Suip.
Selama 35 tahun berkongsi ilham seni, jauh di sudut hati insan seni yang mempunyai ratusan lagu tersusun dalam senarai berdaftar Music Authors Copyright Protection (MACP) itu adalah untuk beraksi di pentas konsert sendiri.
Diizinkan, impian lelaki berusia 50 tahun itu akan terlestari tidak lama lagi apabila pemilik Menara Network Sdn. Bhd., Datuk AB Razif bersetuju menjadi penganjur utama konsertnya, Konsert ByAjai & Mega Friends menjelang 3 Ogos depan.

Konsert mega
Kata Ajai, tiada kata selain syukur hasrat berkenaan tercapai bahkan dia tidak keseorangan apabila ditemani barisan artis yang bukan calang-calang orangnya.
“Syukur, impian saya untuk buat konsert sudah tercapai. Semua lagu yang saya ciptakan istimewa bagi saya dan bukan semua orang boleh menyanyikannya dan mereka yang saya pilih untuk konsert pertama saya ini, ada keistimewaan tersendiri.”
“Mereka yang saya maksudkan adalah Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Aina Abdul, Hazama dan Aufahanie. Saya kenal mereka daripada tahun-tahun yang berbeza tapi mereka ini kekal dalam liga tersendiri hingga ke hari ini.
“Saya yakin, barisan penyanyi hebat yang saya tampilkan ini bakal memberikan kepuasan maksima kepada penonton yang hadir menerusi lagu ciptaan saya tetapi versi mereka,” ujarnya teruja.
Demi kepuasan juga, Ajai bakal menggunakan khidmat Sharon Paul selaku pengarah muzik konsert nanti.
Pemuzik juga diiringi barisan ‘strings’ bagi menambahkan lagi bunyi eksklusif dalam muzik yang diperdengarkan.
“Sebagai seorang yang sangat cerewet dalam mengetengahkan lagu untuk didendangkan, saya pastinya mahukan yang terbaik untuk setiap sudut di konsert pertama ini.
“Insya-Allah, semua lagu yang bakal didendangkan saya mahupun artis-artis ‘mega friends’ boleh menjadi ‘sing along’ penonton yang hadir.
“Pastinya, kualiti bunyian, susunan muzik dan setiap inci yang dipersembahkan oleh pasukan saya dan Menara Network serta seluruh tenaga produksi,” ujarnya.
Masih dalam konteks konsert, penulis sempat bertanyakan lelaki kelahiran Masai, Johor Bahru itu tentang ketiadaan nama bekas isterinya juga penyanyi Nourul Wahab memandangkan wanita itu juga pernah menjadi sebahagian daripada catatan gemilang dalam kariernya.

Tiada keserasian
Menegaskan tiada lagi keserasian dan keikhlasan, Ajai mengakui sangat sukar untuk bergandingan semula dengan bekas isterinya itu apatah lagi mendendangkan lagu duet popular mereka di atas satu pentas.
Menurutnya, setiap persembahan duet memerlukan penjiwaan dan aspek tersebut tidak lagi wujud di antara mereka.
“Jujur saya cakap memang susah, pada saya apa yang berakhir biarkan berakhir. Saya mempunyai pendirian, bukannya tidak profesional tetapi apabila bekerja sebagai penyanyi kita perlu keserasian dan keikhlasan.
“Bukan saya marah atau belum melupakan kisah lama cuma persembahan duet memang memerlukan rasa dan penjiwaan mendalam supaya orang dengar pun terkesan di telinga mereka.
“Sejujurnya saya sudah tiada lagi rasa itu dan enggan memaksa perasaan tersebut,” katanya serius.
Ajai berkata, hubungannya dengan Nourul tiada masalah, sebaliknya masih baik-baik sahaja demi anak perempuan mereka, Ayu Nazirah.
Pelantun lagu Aduh itu bagaimanapun mengakui komunikasi antara mereka semakin renggang memandangkan permata hati mereka kini sudah dewasa dan sudah berdikari.
“Saya cakap macam ini bukan sebab bergaduh dengan Nourul tetapi tidak mustahil kalau mungkin suatu hari nanti saya lebih sedia, ke depan hari kita tak tahu (berduet).
“Tetapi Ayu kini sudah bekerja berbanding dahulu ketika dia kecil kami banyak berkomunikasi kerana menjaganya secara bergilir.
“Masing-masing sudah bahagia dengan kehidupan berkeluarga, jadi kami masih berhubung pun kerana anak,” jelasnya.
Bimbang ‘mood’ santainya berubah, penulis bertanya pula tentang kesihatan dan rahsianya kekal awet muda meskipun usia sudah mencecah 50-an.

Awet muda
Mengakui tiada rahsia, bapa kepada dua cahaya mata itu hanya mengamalkan gaya hidup sihat, bersenam dan mengawal kuantiti pemakanan.
“Ramai yang tanya umur 50 tapi perut tak buncit.
“Pada usia sebegini memang penting untuk jaga kesihatan, jaga makan, konsisten bersenam dan kalau makan pun jangan banyak sangat, kena kawal kuantiti.
“Saya juga ada ke gimnasium, bukan untuk buat badan, sekadar keluarkan peluh dan nak kekalkan badan yang sihat.
“Lagi satu kena ada disiplin, kalau nak kira sibuk, tiap-tiap hari sibuk. Macam saya, saya akan buat 5 kilometer berlari atas mesin dan senaman ringan yang lain,” kongsinya.
Paling penting kata Ajai, badan yang sihat dan cergas lebih memudahkan seseorang untuk beribadah serta beriadah.















