fbpx
SEBANYAK dua pertiga daripada jumlah kemalangan maut yang dilaporkan di negara ini adalah melibatkan motosikal. – GAMBAR HIASAN

Nahas meningkat kerana motosikal bertambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal dijangka meningkat tiga hingga 10 peratus pada tahun ini susulan peningkatan mendadak bilangan kende­raan tersebut di jalan raya.

Penyelidik Utama Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Smart Driving Research Centre, Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, orang ramai kini dilihat lebih selesa memilih pe­ngangkutan yang lebih kecil atas pelbagai alasan termasuk tujuan berjimat.

“Pada 2021, negara baru hendak pulih Covid-19, ekonomi baru berkembang semula, jadi rakyat mula berjimat. Tahun 2022 pula, kenaikan kos sara hidup menjadikan orang ramai memilih menukar mod pengangkutan mereka.

“Jika dahulu ramai naik kereta ke tempat kerja, namun sejak 2022 ramai yang guna motosikal. Jadi bilangan motosikal atas jalan semakin bertambah sekali gus meningkatkan risiko kemalangan bagi kumpulan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan Malaysia mencatatkan purata sebanyak 18 kematian sehari akibat nahas jalan raya pada tahun lalu yang mana 12 daripadanya membabitkan motosikal.

Bagi kes kemalangan maut, seramai 6,443 orang dilaporkan meninggal dunia akibat kemala­ngan sekali gus merekodkan ang­ka tertinggi dalam tempoh lima tahun dan dua pertiga daripada jumlah itu adalah motosikal.

Mengulas lanjut, pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia itu berkata, pada 2019 hingga 2020, negara berdepan dengan wabak Covid-19 dan Pe­rintah Kawalan Pergerakan menyebabkan orang ramai berkurung dalam rumah.

“Situasi itu turut menyumbang kepada penurunan kes kemalangan jalan raya berbanding tahun sebelumnya.

“Pada 2021 apabila ada kelonggaran pergerakan, orang ramai keluar bekerja dan kenderaan juga bertambah. Kes kemala­ngan naik semula. Sebab itu statistik menunjukkan kes kemalangan maut pada tahun 2023 yang pa­ling tinggi,” katanya.

Tambahnya, peningkatan kes kemalangan di Malaysia adalah selari dengan pertambahan jumlah kenderaan atas jalan raya.

“Semakin gemar rakyat membeli kereta, semakin tinggi ken­deraan digunakan atas jalan raya dan semakin tinggi juga risiko kemalangan yang akan berlaku,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Munzilah turut memaklumkan tentang ke­perluan menyelenggara jalan raya secara sistematik perlu dilakukan agar sentiasa selamat digunakan untuk semua jenis kenderaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN