KOTA BHARU – Dua pekerja swasta terpaksa membatalkan percutian ke Hatyai, Thailand semasa musim cuti persekolahan selepas mereka tidak dapat membuat pas sempadan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini baru-baru ini.
Mereka terkilan kerana perlu bersesak dan tidak dapat membuat pas sempadan di UTC meskipun sudah keluar rumah pada pukul 7 pagi.
Azhar Abdullah, 45, berkata, dia ke kaunter Jabatan Imigresen (JIM) di UTC selama tiga hari berturut-turut pada hujung Januari lalu, namun gagal untuk membuat pas sempadan.
Menurutnya, dia perlu beratur sebelum dimaklumkan bahawa pengeluaran pas sempadan pada hari tersebut sudah habis dan dimaklumkan untuk hadir semula keesokan harinya.
“Saya dan keluarga terpaksa menangguhkan perjalanan ke Narathiwat, Thailand buat sementara waktu. Segala perancangan tergendala kerana percutian sepatutnya berlangsung semasa musim cuti persekolahan.
“Saya difahamkan, bekalan pas sempadan yang disediakan JIM sudah banyak. Disebabkan peningkatan rakyat Kelantan yang ingin ke Thailand, pengeluarannya dihadkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Azhar berkata, kerana kecewa tidak dapat membuat pas sempadan di UTC, dia memandu sejauh 30 kilometer dari Kota Bharu untuk membuat dokumen tersebut di pejabat JIM di Pengkalan Kubor, Tumpat.
Menurutnya, meskipun dapat membuat pas itu, dia tidak dapat bercuti ke Thailand kerana masa yang ada ketika ini tidak sesuai untuk dia ke luar negara apabila terikat dengan kekangan kerja.
“Saya terpaksa tangguh percutian ke Narathiwat hingga selepas Hari Raya Aidilfitri ini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi rakyat Kelantan yang kecewa tidak dapat membuat pas sempadan, Zainal Abidin, 50, berkata, dia terpaksa mengupah individu untuk beratur bagi membuat pas sempadan di UTC tetapi tetap gagal membuat pas sempadan.
Semalam Kosmo! melaporkan JIM hanya meluluskan 250 permohonan setiap hari berbanding 700 permohonan diterima.














