ALOR SETAR – Isteri kepada anggota cawangan khas (SB) yang maut dipercayai tertembak dalam kejadian di Hutan Simpan Ulu Muda di Sik, kelmarin mengakui merasa tidak sedap hati apabila arwah keluar rumah untuk menyertai operasi itu pada Selasa lalu.
Jamilah Adnan, 37, memberitahu, dia turut menasihatkan suaminya, Muhamad Fazli Marzukhi, 39, supaya tidak menyertai operasi menyiasat pencerobohan dan pemburuan haram kerana bimbang sesuatu tidak diingini akan terjadi.
“Kami baru sahaja buat kenduri khatan anak sulung dan saya tahu arwah kepenatan. Apabila arwah maklumkan dia kena masuk hutan untuk operasi, saya minta dia batalkan.
“Tetapi arwah cakap tak boleh sebab semboyan sudah dibunyikan. Saya pun reda,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini semalam.
Jamilah memberitahu, mereka baru tiga tahun menetap di Kuala Kedah setelah arwah berpindah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini.
“Apabila terjadi seperti ini sungguh saya sedih, tetapi saya reda dan ikhlas kerana ini ketentuan Allah.
“Saya harus kuat demi anak-anak terutama anak sulung lelaki kami yang asyik bertanyakan ayah mereka,” ujarnya yang mempunyai dua anak berusia enam dan sembilan tahun.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Masjid Al Maarif, Jeneri dekat Sik selepas bedah siasat selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Menurutnya, pada pukul 10 pagi kelmarin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Sik menerima maklumat berkaitan kematian Pegawai Rendah Polis Cawangan Khas IPK Kedah akibat terkena tembakan semasa operasi itu di kawasan Kompartmen 124 Hutan Simpan Ulu Muda, Sik.
“Siasatan awal mendapati, mangsa bersama anggota Cawangan Khas IPK Kedah serta sepasukan polis IPD Sik dan pasukan Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah dibantu orang awam memasuki kawasan hutan itu.
“Kesemua kekuatan yang bergerak ke kawasan itu pada 27 Februari lalu pada pukul 12 tengah hari telah bermalam di Kompartmen 103 Hutan Simpan Ulu Muda.
“Mangsa bersama dua orang awam bergerak ke Kompartmen 124 di hutan simpan itu pada keesokan harinya pukul 3 petang dengan menggunakan kenderaan awam untuk membuat pemerhatian dan menjalankan siasatan.
“Sehingga pukul 6.30 petang, mereka belum pulang ke tempat penginapan, usaha mencari telah dijalankan, namun hanya menjumpai kenderaan yang digunakan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, kira-kira pukul 5 pagi kelmarin, mangsa yang parah pada dada telah dibawa balik ke Kompartmen 103 dan seterusnya ke Hospital Sik sebelum disahkan meninggal dunia.
Tambahnya, siasatan mendapati dalam kejadian itu, ketiga-tiga mereka termasuk mangsa sesat akibat cuaca gelap dan kira-kira pukul 2 pagi kelmarin, satu letupan berbunyi.
Sementara itu, seorang lelaki direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes seorang anggota SB maut terkena tembakan dalam operasi di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik.
Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 56 tahun itu dikeluarkan Majistret, Noor Fazlina Musa di Mahkamah Majistret Sungai Petani semalam.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.














