KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) mempunyai tugas mencabar memilih individu terbaik daripada senarai akhir empat calon bagi mengisi kerusi panas sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan.
Berdasarkan senarai itu, empat nama menjadi pilihan badan induk sukan hoki negara iaitu dua pengendali tempatan, Muhammad Dharma Raj Abdullah dan Sarjit Singh selain Brendon Carolan dari Afrika Selatan serta Glenn Turner (Australia).
Dua calon luar negara itu dilihat tidak realistik untuk mengemudi Speedy Tigers kembali ke era kegemilangan kerana tiada pengalaman selaku ketua jurulatih di peringkat antarabangsa, berbanding Dharma dan Sarjit.
Carolan dan Turner hanya memainkan peranan sebagai pembantu kepada A. Arul Selvaraj yang turut memohon jawatan tersebut, tetapi tidak tersenarai mungkin kerana gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Disebabkan itu, penulis berpandangan MHC perlu memberikan ruang sewajarnya kepada dua calon tempatan itu untuk memulihkan maruah hoki negara yang kini tercalar teruk termasuk gagal mencapai sasaran emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022.
Situasi akan berbeza sekiranya ada individu-individu yang lebih berprofil tinggi dari Eropah dalam senarai 23 permohonan bagi mengisi jawatan tersebut.
Bukan menidakkan kemampuan pengendali luar negara, tetapi berdasarkan empat calon akhir, Dharma dan Sarjit cukup ‘masak’ selain pengetahuan yang begitu mendalam tentang pemain tempatan.
Hal ini amat penting bagi memastikan kesinambungan Speedy Tigers yang sudah 24 tahun kempunan untuk beraksi di pentas Olimpik sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 2000 di Sydney, Australia.
Dharma bukan nama asing dalam arena hoki tanah air selain turut mempunyai misi belum selesai bersama skuad senior lelaki kerana pernah dilantik awal Januari 2014 sebelum ‘direhatkan’ tujuh bulan kemudian.
Bagaimanapun, pengendali berusia 55 tahun itu yang kini memegang peranan Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Indonesia telah membuktikan kredibilitinya ketika mengendalikan skuad hoki wanita senior kebangsaan.
Beliau memastikan Malaysian Tigress daripada sebuah pasukan belasahan hingga menjadi silent killer termasuk mencipta sejarah layak kali pertama ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium pada 2017.
Bukan itu sahaja, Dharma juga kekal satu-satunya jurulatih yang berjaya mengemudi Malaysia muncul juara Piala Sultan Johor 2012 dan Piala Remaja Asia 2012.
Kecemerlangan itu diteruskan dengan meraih tempat keempat Piala Dunia Hoki Remaja 2013 di New Delhi, India sehinggakan beliau dinobatkan sebagai Jurulatih Lelaki Kebangsaan Terbaik pada Anugerah Sukan Negara 2013.
Magis itu diteruskan bersama Indonesia meraih pingat emas pertama mereka di pentas Sukan SEA menerusi acara hoki dalam dewan di Kemboja pada Mei tahun lalu.
Sarjit juga mempunyai resume tersendiri kerana pernah mengendalikan skuad remaja pada 2005 dan pasukan senior dari Januari 2007 hingga Disember 2008.
Jawatankuasa Kejurulatihan MHC perlu melantik calon yang benar-benar berkemampuan untuk memastikan negara beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.














