Perkembangan sesebuah syarikat pemula dilihat tidak begitu popular, tetapi ia sebenarnya memainkan peranan penting dalam membantu menyokong pertumbuhan negara. Malah ada yang sudah berkembang maju malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Lebih membanggakan, ekosistem syarikat pemula di Malaysia kini berada di tempat ketiga tertinggi memiliki bilangan syarikat pemula terbanyak di Asia Tenggara dan di tempat kedua yang paling inovatif di belakang Singapura (menurut Indeks Ekonomi Platform Digital 2020).
Bersandarkan perkembangan membanggakan itu, sebuah syarikat, Leave A Nest Malaysia telah mengambil inisiatif membangunkan Center of Garage Malaysia (CoGMY) suku keempat tahun lalu untuk menyediakan platform dan menjadi hab bagi syarikat pemula beroperasi dan mengembangkan perniagaan melalui segala kemudahan dan sokongan yang diberikan di situ termasuk dana.
Menurut Pengarah Urusannya, Abdul Hakim Sahidi, di CoGMY akan menjadi penyelesai masalah kepada syarikat pemula ini dalam membangunkan prototaip dan pembuatan dalam skala yang kecil selain mengumpulkan syarikat dari luar negara seperti Jepun untuk bertukar pandangan, ilmu dan teknologi dengan syarikat tempatan malah rangkaian itu akan diperluaskan lagi ke beberapa negara utama termasuk di Timur Tengah.
“Kami telah membina daripada saiz permulaan sehingga menjadi pemain industri gergasi seperti Aerodyne dan Euglena, kemudiannya mereka akan menyumbang kembali kepada ekosistem bagi pembinaan syarikat pemula seterusnya,” katanya ketika ditemui di Cyberjaya baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh jelaskan tentang Center Of Garage (CoGMY) dan apakah perkembangan terbaharunya?
Abdul Hakim: Ini adalah platform terbaik untuk syarikat pemula khusus dalam bidang deep tech untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan menggunakan ekosistem inkubasi yang ditawarkan di sini.
Sejak dimulakan pada bulan Oktober tahun lalu, kami telah memiliki 20 perintis, ia juga akan menjadi penghubung kepada pemain industri dengan melaksanakan kerjasama dengan beberapa syarikat gergasi seperti Mitsubishi Electric, Kobashi Holdings, Euglena, Real Tech Holdings dan PICA Manufacturing.
Kami sudah bersedia untuk mengoperasikan CoGMY dengan kerjasama dari rakan dan buat masa sekarang terdapat 20 syarikat pemula telah menggunakan fasiliti di sini. Kami dalam perancangan yang lebih aktif untuk membawa lebih ramai rakan ke sini dan mengalu-alukan mereka menggunakan segala kemudahan yang kami bina di sini.
Adakah syarikat pemula itu dari Malaysia atau dari luar negara?
Kesemuanya ada 20 syarikat iaitu dari Malaysia dan juga dari Jepun.

Adakah semua jenis syarikat pemula boleh menyertai CoGMY?
Kami memfokuskan kepada syarikat daripada bidang deep tech yang meliputi teknologi berkaitan perisian, makanan dan bioteknologi.
Deep tech adalah perkataan baharu dalam bidang ini yang menggabung ke semua teknologi yang melibatkan kemahiran tinggi.
Di negara kita sudah banyak syarikat pemula tetapi kami fokuskan kepada bidang ini kerana terdapat kami dapati ia berdepan cabaran untuk dibangunkan dan kekal berdaya saing, kami juga dapati terdapat ruang yang wujud dalam ekosistem syarikat pemula pada masa ini,
Sehubungan kami, akan menyokong mana-mana syarikat yang terlibat dalam bidang ini untuk terus berkembang maju. Kami juga memiliki rekod pengalaman dalam bidang ini, jadi ia mudah untuk melakukannya.
Apakah kriteria yang ditetapkan untuk menyertai platform ini?
Kami tidak melihat rekod pengalaman sesebuah syarikat itu, tetapi kami mahukan mereka mengubah cara kerja dan teknologi mereka seterusnya kami akan sokong mereka melalui beberapa fasa yang perlu dilalui.
Ia juga tidak melibat sebuah syarikat yang besar. Meskipun hanya terdapat seorang sahaja yang mengoperasikan perniagaan itu, kami akan sokong dia dan ia akan terus berkembang dengan memiliki lebih ramai pekerja masa depan, kami akan bantu syarikat itu mengukuhkan operasi mereka dan seterusnya melangkah lebih jauh lagi.

Apakah kemudahan yang disediakan di CoGMY?
Banyak kemudahan yang ada di sini seperti sebuah garaj yang boleh dimanfaat oleh semua usahawan dan syarikat. Platform ini boleh digunakan untuk pembangunan perniagaan mereka, mengembangkan pasaran sedia ada, meningkatkan keterhubungan dan juga memperoleh dana daripada pelabur.
Adakah syarikat yang menyertai CoGMY perlu membayar yuran?
Untuk membolehkan mereka bekerja di sini seharusnya mereka perlu membayar yuran yang ditetapkan tetapi ia adalah bersesuaian dengan status syarikat pemula itu sendiri, harga yang kami kenakan adalah antara RM400 hingga RM2,500 sebulan.
Sebaik sahaja mereka membayar yuran tersebut pastinya mereka akan mendapat sokongan yang baik daripada kami, lebih menarik melalui himpunan semua syarikat pemula di sini, ia akan memudahkan syarikat korporat datang melawat ke sini dan mereka boleh memilih syarikat untuk bekerjasama dan kami akan bantu dalam proses tersebut.
Kami telah memiliki rekod kejayaan dalam membangunkan sesebuah syarikat pemula yang hanya bersaiz kecil hinggalah berjaya menjadi sebuah syarikat yang membangun.
Hasil bimbingan kami itu, mereka akan memberi semula kepada ekosistem industri itu sekali gus membantu syarikat pemula baharu yang lain. Ini adalah cara kami untuk mengekalkan ia agar terus berdaya saing untuk jangka panjang.
Apakah perancangan syarikat pada tahun ini?
Buat masa ini, kami telah memiliki sebanyak 20 syarikat pemula dan kami mahu menambah kepada 50 lagi syarikat pemula baharu.
Kami mahu mewar-warkan kejayaan ini lebih luas ke peringkat global yang mana CoGMY memiliki platform yang sesuai untuk ramai lagi usahawan dalam bidang ini bertukar maklumat, ilmu dan teknologi sesama mereka.
Kami juga berharap lebih banyak syarikat tempatan menyertai kami dan kami mahu separuh daripada jumlah yang disebutkan tadi terdiri daripada syarikat tempatan.
Kami kini memiliki enam rangkaian di Jepun, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Singapura, oleh itu kami mahu membawa usahawan dari negara tersebut datang ke sin dan bawa teknologi, perniagaan dan kemahiran mereka di sini. Pasaran baharu kami adalah di Timur Tengah dan Afrika.
Selain itu, kami juga melihat mahu meneroka lebih banyak bidang dalam deep tech khusus dalam segmen robotik, perubatan dan pertanian yang mana kami mahu membantu meningkatkan dan menambah baik industri pertanian. -KOSMO! ONLINE















