SAUDARA PENGARANG
Baru-baru ini tular tentang ciapan pemain bola sepak wanita negara, Intan Serah yang mengkritik pertukaran pemain dibuat ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 di Doha, Qatar yang berkesudahan seri 3-3 dengan Korea Selatan, baru-baru ini.
Ramai yang mengkritik pemain itu sehingga beliau membuat permohonan maaf secara terbuka.
Saya agak terkejut mendengar maklum balas daripada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dikatakan akan mengambil tindakan terhadap pemain tersebut.
Biarpun benar, Intan menulis ciapan terbabit hanya sekadar pendapat peribadi beliau, malah FAM tidak wajar menutup kebebasan bersuara buat pemain tersebut.
Keadaan ini menyaksikan kebebasan bersuara atlet sebenarnya cuba ditutup.
Saya fikir kementerian perlu meminda peraturan sukan sedia ada yang membenarkan atlet bersuara walaupun terpaksa mengkritik persatuan sukan di bawah naungan mereka.
Kritikan seharusnya memperbaiki kekurangan yang ada, bukan sebaliknya, malah atlet berhak memberi pandangan mereka secara terbuka, bukannya ditakut-takutkan.
YUSLAINI AZMI
Aktivis politik














