MODEL generasi pertama Toyota Corolla telah diperkenalkan pada umum sejak tahun 1960-an lagi.
Sejak itu, model berkenaan berjaya mendapat sambutan pembeli-pembeli dari seluruh dunia.
Sehingga kini, Corolla sudah sampai generasi ke-12 dan masih menjadi model popular.
Di Malaysia, enam jenis Corolla dijual UMW Toyota sebagai pilihan seperti GR Corolla, Corolla GR Sport, Corolla Cross GR Sport, Corolla Cross Hybrid Electric, Corolla Cross dan Corolla.
Daripada model yang ditawarkan itu, ada jenis prestasi (hatchback), sedan dan kenderaan utiliti sukan (SUV).
Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang memandu uji dua unit model berkenaan iaitu model Corolla varian G dan Corolla GR Sport.
Model sedan yang telah dipertingkatkan ini sebenarnya dilancarkan pada Ogos tahun lalu.
Dari segi rekaan, model ini tampil berbeza dengan rekaan hadapan melengkung dan jeriji gril depan rendah. Pada bahagian sisi, rim aloi bersaiz 17 inci yang dapat meningkatkan gaya premium.
Model ini hadir dengan lampu utama jenis LED dengan fungsi Follow Me Home, di samping rekaan estetik.
Masuk ke ruang kabin, Corolla varian G ini hadir dengan tempat duduk kulit dengan rekaan kerusi gebu. Cukup selesa untuk perjalanan jauh.

Rekaan kabin yang elegan dengan kemasan hitam berkilat, sistem infotainment dengan ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar, panel meter 12.3 inci grafik penuh memberikan imej moden.
Walaupun ini sebuah sedan segmen C, namun ia tetap ditawarkan dengan ciri-ciri penghawa dingin dua zon iaitu corong penghawa dingin belakang dan penghadang matahari pada cermin belakang.
Model ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang memberikan keseimbangan berat menyeluruh.
Rangka kereta ini telah diperkuatkan untuk memberi kestabilan bagi prestasi pemanduan yang baik.
Model Corolla ini menggunakan enjin 1.8 liter dan transmisi tujuh kelajuan Sequential Shiftmatic CVT.
Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 139PS pada 6,400 rpm dan tork tertinggi sehingga 172Nm ketika 4,000 rpm. Dua mod pemanduan ditawarkan iaitu Eco dan Sport dengan Paddle Shifter.
Mod Eco untuk kecekapan bahan api dan mod Sport bagi pemanduan lebih responsif.
Toyota Corolla GR Sport
Untuk mereka yang inginkan kelainan dengan kereta lebih sporty, Corolla GR Sport mungkin boleh dijadikan sebagai pilihan. Secara asasnya, model ini masih sama tetapi GR Sport hadir dengan rekaan sporty seperti bampar hadapan lebih besar yang memberikan imej agresif.
Varian GR Sport ini juga hadir dengan pelindung cermin sisi berwarna hitam dan rim aloi berukuran 18 inci dengan tayar bersaiz 225/40 yang juga berwarna hitam.
Pada bahagian belakang pula, model ini menerima rekaan bampar belakang yang lebih agresif serta mempunyai logo GR.

Selain itu, ruang kabin model ini dihiasi dengan tempat duduk dengan logo GR. Apa yang paling menarik, sistem suspensi model ini telah menggunakan GR Sport Tuned MacPherson Strut dengan stabiliser untuk depan dan
GR Sport Tuned Double Wishbone dengan stabiliser untuk belakang.
Kesimpulannya, resipi kejayaan model ini penulis lihat adalah jenama yang terkenal dengan kelasakan dan ketahanan, servis selepas jualan, rekaan yang menarik serta ciri-ciri mengikut peredaran zaman.
Pada saya, model Corolla ini masih relevan untuk ditawarkan pada tahun ini kerana rekaan dan spesifikasinya mampu menarik minat pelanggan.














