RUMAH hantu merupakan tarikan yang mendapat sambutan hangat di karnival Fun Fair terutamanya pada musim Halloween.
Disebabkan itu, rumah hantu merupakan salah satu tarikan yang ingin diterokai oleh Syahid (bukan nama sebenar) bersama rakan-rakan sekampungnya.
Bagi remaja berusia 15 tahun itu, memasuki rumah hantu memberikannya lebih keterujaan berbanding permainan lain yang dianggap sebagai kebudakan.
Menurut Syahid, luaran rumah hantu tersebut tidak begitu menakutkan, malah nampak ‘murah’ dan dekorasinya bersifat ‘tangkap muat’.
Oleh itu, dia dan rakan-rakannya mencabar sesama sendiri untuk masuk ke dalam rumah hantu tersebut seorang demi seorang.
“Kami main ‘lat tali lat tali tamplom’, siapa yang ganjil masuk dahulu. Orang yang kemudian akan masuk 5 minit seterusnya.
“Kami berlima, saya adalah orang ketiga masuk. Pada asalnya, saya tidak takut langsung kerana hiasan luarannya yang nampak kokak,” katanya kepada Panorama.
Apabila tiba gilirannya, Syahid mula melangkah masuk ke dalam ruang serba gelap dan suasana sejuk mula menyelubunginya.
Sesekali, terdengar jeritan daripada dua rakan baiknya yang masuk ke dalam rumah hantu terlebih dahulu.
Yakin dirinya tidak mudah dikejutkan ‘hantu jadian’, pelajar tingkatan tiga itu mencari-cari kelibat puaka yang dijangka akan menyergahnya.
Syahid berasa aneh apabila ruang yang dimasukinya cuma dipenuhi hiasan berhantu, namun tidak ada langsung perkara mengejutkan.
Syahid memaklumkan, dia mula merasakan bahawa rakan-rakan di hadapannya sengaja menjerit sebagai satu gurauan.
“Apabila saya dapati rakan-rakan saya cuma ‘menganjing’ rumah hantu itu. Saya pun terfikir untuk buat perkara sama.
“Saya panggil hantu-hantu keluar kerana saya bukan bayar untuk tengok pameran hantu sahaja.
“Saya akui, kata-kata saya kedengaran agak bongkak. Waktu itu, saya memang kecewa melihat keadaan dalaman rumah hantu berkenaan,” terangnya.
Benarlah orang kata, ‘kerana mulut badan binasa’, suara jeritan rakan-rakannya itu tiba-tiba menghilang.
Rumah hantu itu bertukar menjadi senyap sunyi. Tiba-tiba, Syahid terasa ada angin dingin menghembus di bahagian telinganya.
Enggan kalah dengan perasaan takut, Syahid melajukan jejak langkahnya.
Bagaimanapun, Syahid merasakan rumah hantu itu tiba-tiba begitu luas.
Sesekali, Syahid merasakan terdapat mata-mata yang memperhatikannya dari segenap sudut rumah hantu itu.
Ada kalanya, dia terasa seperti ada entiti mengekorinya dari belakang.
Namun, apabila dia toleh ke belakang, hanya ada ruang kosong dengan lampu merah yang malap dan berkabus.
Kemuncak rasa panik menyelubungi Syahid apabila dia berpusing di tempat sama dalam tempoh 30 minit.
“Saya panik apabila asyik tiba di hadapan pocong yang berdiri tegak dengan mata tertutup.
“Saya tak tahu itu pocong betul atau ada orang dalam kostum tersebut. Tapi bila saya patah balik, saya tiba di hadapannya lagi,” jelasnya.
Syahid mula menarik nafas lega apabila terdengar suara rakannya dari belakang.
Detik hatinya, pasti itu Asyraf (bukan nama sebenar) yang diundi untuk masuk selepas dirinya.
Dia mula menjerit nama rakannya itu, lalu berlari ke arah suara tersebut.
Alangkah terkejutnya dia apabila suara itu datang dari arah pocong yang kini mula melompat-lompat.
Tanpa disedari, seluar Syahid basah kerana terlalu panik dengan situasi yang dihadapinya ketika itu.
Akui khilaf kerana mencabar rumah hantu tersebut, Syahid mula menangis teresak-esak dan mohon maaf.
“Waktu itu, saya dah tak fikir tentang ‘anak jantan’. Saya menangis sepuas-puasnya.
“Saya nak balik rumah. Saya tak nak mati sakit jantung dalam rumah hantu itu,” ceritanya.
Tidak lama kemudian, dia terasa ada kuku panjang menyentuh bahunya dan hantu berupa pontianak menyergah.
Hampir gugur jantung Syahid melihat rupa buruk hantu di hadapannya, namun lelaki di sebalik kostum pontianak itu segera menenangkannya.
Akhirnya, Syahid dipimpin oleh staf rumah hantu itu untuk dibawa keluar menerusi pintu tepi.
Kata Syahid, rakan-rakannya yang lain tidak mengalami sebarang kejadian aneh.
Bahkan kata mereka, Syahid hanya sempat masuk dalam lima minit sebelum dijumpai menangis teresak-esak.
Sehingga kini, peristiwa dialami Syahid menjadi bahan jenaka rakan-rakan yang tidak percaya dengan pengalaman dilaluinya ketika berada dalam rumah hantu.














