PETALING JAYA – Seorang pemuda yang memiliki suara mirip Datuk Seri Siti Nurhaliza memasang impian untuk berduet dengan penyanyi nombor satu negara itu meskipun sekadar persembahan dalam majlis keramaian.
Muhammad Nor Adam Ziqril Bah Rasad, 23, berkata, sekiranya impian itu menjadi kenyataan ia akan menjadi pengalaman berharga buat dirinya memandangkan penyanyi itu merupakan idolanya sejak kecil.
Menurut Muhammad Nor Azam atau nama popularnya ‘Siti Shower’, dia pernah bertemu dengan Siti Nurhaliza pada 2019 dan 2021.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kepujian Matematik, Universiti Teknologi Mara itu menjadi popular selepas video nyanyiannya dalam bilik mandi yang mirip Siti Nurhaliza menerusi lagu Sesuci Lebaran tular di media sosial pada 2017.
“Saya bersyukur apabila ada yang puji, namun saya tidak menaruh harapan untuk bergelar penyanyi profesional. Cuma impian saya mahu berduet dengan TokTi (panggilan Siti Nurhaliza).
“Bukan hendak membandingkan suara, cuma mahu bergandingan dengan idola. Jika diberi peluang, memang saya tidak akan tolak,” katanya.
Muhammad Nor Adam juga tidak akan melepaskan peluang sekiranya ada tawaran untuk menghasilkan lagu bersama penyanyi kegemarannya itu.
Lelaki itu pernah menerima jemputan sebagai penonton dokumentari Siti: Are You Ready.
Bercerita lanjut, Muhammad Nor Adam berkata, dia bercita-cita mahu menjadi seorang pensyarah.
“Ramai yang salah anggap, mereka sangkakan saya mahu jadi penyanyi. Saya memuat naik video nyanyian di media sosial kerana mahu berkongsi minat bukannya mahu bergelar penyanyi,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki Orang Asli bertuah kerana memiliki keunikan iaitu suara merdu persis Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Muhammad Nor Adam menjadi tular apabila video nyanyiannya di dalam bilik mandi tular dalam media sosial.
Pemuda itu mengakui dia tidak pernah berasa malu memiliki suara seperti wanita, malah menganggapnya sebagai ‘rezeki’ kerana semakin dikenali ramai.














