LIPIS – Dua beranak berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Kampung Petola, Padang Tengku di sini diserang seekor gajah jantan liar awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, Hermalinda Arman, 33, dan ibunya, Khadijah Che Do, 52, sedang tidur sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi bising di kawasan halaman rumah.
“Haiwan itu memijak kayu, merosakkan tanaman nanas, tangki air dan mengopak dinding kayu sehingga kediaman kami bergegar.
“Ketika kejadian, saya dan emak hanya mampu berdiam diri dan berdoa supaya haiwan tersebut tidak bertindak dengan lebih agresif.
“Sebaik gajah tersebut beredar pada pukul 3.30 pagi, saya segera menghubungi ketua kampung dan pihak polis bagi memaklumkan tentang kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Cerita Hermalinda, kejadian serangan gajah kerap berlaku di kampung itu sejak lebih setahun lalu. Dalam tempoh dua minggu ini, kediaman mereka sudah tiga kali ‘dikunjungi’ haiwan tersebut.
Jelasnya, setiap malam, dia dan ibunya hidup dalam ketakutan dan tidak dapat tidur nyenyak kerana bimbang akan kemunculan haiwan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Petola, Ahmad Sharizan Yusoh memberitahu, serangan gajah liar yang bagai tiada kesudahan tersebut menimbulkan keresahan kepada penduduk untuk ke kebun.
“Kejadian ini memberikan kesan kepada 30 pekebun yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan getah. Sebahagian mereka terpaksa tanggung rugi besar kerana tanaman yang diusahakan dirosakkan gajah liar tersebut.
“Saya amat berharap Perhilitan dapat melakukan operasi segera bagi menangkap dan memindahkan haiwan itu dan pekebun tidak berterusan menanggung rugi bahkan keselamatan penduduk juga lebih terjamin,” katanya.















