KUALA LUMPUR – Penduduk Apartmen Abdullah Hukum, di sini hanya boleh menarik nafas lega buat sementara waktu sebelum kawasan tersebut kembali dibanjiri warga asing sehari selepas diserbu pihak berkuasa pada Sabtu lalu.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, warga asing di apartmen itu masih lagi menjalani kehidupan seperti biasa dengan keluar bekerja dan membeli barang runcit untuk keperluan harian.
Turut kelihatan sekumpulan warga asing berkumpul di sebuah premis dipercayai kedai makan yang beroperasi di dalam sebuah restoran terbiar.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk apartmen itu, Mohamad Razali Mohd. Noor berkata, suasana dan keadaan di apartmen 14 tingkat itu tidak banyak berubah dan masih sama seperti dahulu, ekoran 80 peratus penghuni masih terdiri daripada warga asing.
Ujarnya, sehari selepas operasi yang dilakukan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur, warga asing kembali bermastautin dan mendakwa mereka memiliki dokumen perjalanan diri dan permit yang sah.
“Meskipun mereka (warga asing) lebih berhati-hati selepas serbuan itu, tetapi tetap berani berhadapan dengan penduduk tempatan. Apabila kita tegur, mereka kata ‘saya ada permit, tauke saya jaga’.

“Dari segi kebersihan sebenarnya yang kita khuatir sebab mereka apabila mabuk akan muntah dan buang air kecil merata-rata,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Mohamad Razali yang sudah menetap di apartmen itu selama 23 tahun, penyelesaian yang perlu dilakukan pihak pengurusan adalah menyekat pemilik rumah menyewakannya kepada warga asing.
“Kadar sewa di sini mencecah RM2,000 sebulan. Penduduk tempatan tak mampu nak bayar sewa semahal itu. Jadi memang warga asing yang sewa, tetapi akan muatkan lebih 10 penghuni dalam satu rumah,” katanya.
Berita berkaitan: Abdullah Hukum digempur Imigresen
Serbuan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di Apartmen Abdullah Hukum, di sini awal pagi Sabtu lalu, berjaya membongkar kebanjiran warga asing yang telah bermastautin di penempatan itu sejak tujuh tahun lalu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, kira-kira 1,000 warga asing diperiksa dan 567 daripada mereka berusia setahun hingga 54 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.














