fbpx
Gambar hiasan

Imam mengeluh elaun RM100 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Bayaran elaun imam surau sebanyak RM100 sebulan tidak setimpal dengan tugas yang dipikul bagi memastikan pengimarahan surau sentiasa berjalan terutama solat lima waktu.

Malah, ketika ini ada surau-surau yang telah me­laksanakan solat Jumaat atau ‘Surau Jumaat’, namun mereka tetap tidak me­nerima bayaran tambahan daripada pihak-pihak berkaitan.

Seorang imam surau di daerah ini yang enggan namanya disiarkan memberitahu, walaupun perkara ini pernah ditimbulkan 10 tahun lalu tetapi sehingga kini keadaan masih tidak berubah.

Katanya, bayaran RM100 pun tidak dibayar pada setiap bulan, sebaliknya dikumpulkan bagi 4 atau 5 bulan untuk kelihatan ‘banyak’ jumlahnya tetapi hakikatnya mereka hanya menerima RM100 sebulan sahaja.

Menurut beliau, tidak semua dalam kalangan imam surau merupakan pesara kerajaan yang mempunyai pencen mahupun mempunyai pendapatan sampingan dari kebun kelapa sawit atau rumah sewa.

“Sebab itu, ramai dalam kalangan mereka tidak hadir pada program-program anjuran Pejabat Agama Daerah mahupun pihak yang lain kerana tidak mempunyai duit minyak untuk pergi.

“Imam-imam masjid mendapat elaun sebanyak RM850 sebulan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia , tetapi bagaimana kedudukan dengan imam di surau,” katanya ketika dihubungi di sini.

Untuk rekod, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan elaun bulanan kepada bilal masjid RM100 sebulan diikuti noja masjid RM80 sebulan, imam surau RM100 sebulan dan bilal surau RM50 sebulan.

Ketika ini Johor mempunyai sebanyak 2,102 buah surau, 814 buah masjid di seluruh negeri.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai seorang imam muda sebuah masjid di Negeri Sembilan yang mendakwa dirinya tidak mendapat gaji atau elaun yang setimpal dengan urusan yang dilakukannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN