NAMA penyanyi muda, Natasha Sass mungkin kedengaran agak asing dalam industri muzik tempatan.
Hakikatnya, si bunga berusia 23 tahun itu sudah pun berkecimpung dalam arena seni hiburan tanah air sejak tujuh tahun lalu.
Seawal usia 16 tahun, bakat jelitawan berdarah kacukan Melayu-Jerman itu sudah dikesan, seterusnya dilamar menjadi artis rakaman bawah label antarabangsa, Universal Music Malaysia.
Biar kurang dikenali, portfolio seni si tinggi lampai itu boleh dikatakan cukup membanggakan apabila pernah berkongsi pentas dengan bintang-bintang tersohor termasuk, Bruno Mars, Usher dan penyanyi kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Selepas beberapa tahun menghilang, kini Natasha hadir dengan album terbaharunya berjudul Still Standing, sekali gus telah bersedia untuk memeriahkan semula industri hiburan tanah air.

‘Comeback’
Kata Natasha, kehilangan seketikanya dari radar industri muzik hiburan tempatan berlaku dek memberi laluan terhadap pengajiannya di Jerman.
“Saya mengambil masa untuk kembali kerana mahu kumpul ilmu dalam bidang muzik. Saya tidak mahu keluar sebagai artis ‘kosong’ tanpa sebarang ilmu.
“Sebab bagi saya, untuk berada dalam industri, saya perlu bersedia kerana perjalanannya bukan mudah,” katanya.
Tambah Natasha, ketika menetap di Jerman, dia sempat mengukir nama sebagai penyanyi dengan melancarkan beberapa buah single.
Selain menyanyi, Natasha turut bekerja dengan produser muzik di Jerman dan banyak terlibat dengan program hiburan.
“Ketika di Jerman, saya ada keluarkan beberapa buah single.
“Semuanya dalam bahasa Jerman. Saya juga bekerja dengan produser di sana.
“Lagu-lagu saya banyak dimainkan di stesen radio tempatan di sana, selain ada juga terlibat dengan beberapa program televisyen. Kiranya saya antara penyanyi di Jerman,” katanya.

Still Standing
Sejak penghujung 2023, Natasha yang kembali semula ke Malaysia dengan buah tangan berjudul Still Standing memuatkan lima buah lagu berbahasa Inggeris, termasuk sebuah lagu Melayu berjudul Manusia.
Kata Natasha, dia mengambil masa selama setahun untuk menyempurnakan album Still Standing yang dianggap begitu dekat di hati.
“Projek untuk menyiapkan album ini mengambil masa sekitar setahun sejak 2022. Still Standing adalah satu kembara yang cukup indah dan dekat di hati saya.
“Ketika itu, saya banyak menulis dan mencipta lagu untuk dikongsikan kepada peminat. Album ini mengisahkan kematangan, kehidupan, cinta dan permulaan kerjaya saya dalam bidang muzik,” jelasnya.
Still Standing yang bermaksud ‘tetap berdiri’ menceritakan, biarpun berdepan pelbagai dugaan, setiap orang harus tetap teguh berdiri.
Antara lagu yang terkandung dalam Still Standing adalah Memory, Lost Love, Love Myself Instead, Round and Around, dan sebuah lagu bahasa Melayu iaitu Manusia.

Pasaran Filipina
Tidak hanya menyasarkan pasaran di Malaysia, Natasha juga merancang untuk menembusi pasaran muzik di Filipina.
Dia memilih mengembangkan kerjaya seninya ke negara terkenal kisah cinta Pangako Sa ‘Yo tersebut kerana pernah beberapa kali membuat persembahan di sana.
“Selain Malaysia, saya juga merancang untuk memperkenalkan muzik saya ke Filipina. Saya memilih negara tersebut kerana sebelum ini, saya pernah beberapa kali membuat persembahan di sana sekitar 2019.
“Konsep yang saya akan bawakan nanti juga berentak balada dan pop R&B,” katanya.
Mengakui belum mencapai puncak dalam kerjaya muziknya, Natasha percaya banyak lagi laluan yang harus dijalani, sebelum tiba ke titik dituju.
Sedar kerjaya muziknya tidaklah menunjukkan momentum ‘menaik’ sepanjang masa, namun dia bersyukur dengan apa yang telah dijalani selama ini.
“Pengalaman yang dilalui membentuk saya untuk menjadi manusia lebih bijak dan kuat.
“Kesenangan sebenarnya satu ancaman. Saya sudah pun bersedia untuk laluinya,” kata Natasha.















