fbpx
GAMBAR HIASAN

Ekzos bising: Penjual juga perlu disalahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI mengubah suai ekzos bukanlah perkara baharu dalam kalangan pengguna kenderaan di negara ini terutamanya motosikal.

Ramai sanggup mengeluarkan belanja besar untuk tukar ekzos sedia ada semata-mata untuk mengikut trend seperti menggunakan ekzos paip dan perang.

Rata-rata pengguna motosikal mengubah suai ekzos supaya bunyi kenderaan mereka menjadi lebih kuat, sekali gus membuatkan diri berasa puas dan bangga.

Penulis yakin, sekiranya pihak berkuasa membuat operasi ekzos bising secara besar-besaran di seluruh negara, pasti ramai orang awam bersetuju.

Apa tidaknya, bayangkan kita baru hendak melelapkan mata selepas seharian bekerja, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi ekzos perang.

Bagaimana pula perasaan ibu bapa yang anak kecil mereka sedang nyenyak tidur, tiba-tiba terjaga dan menangis angkara bunyi ekzos bising.

Hakikatnya, tindakan saman kerana ubah suai ekzos boleh diambil mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959).

Setiap ekzos yang dipasang pada kenderaan bermotor perlu diselenggarakan setiap masa supaya berada dalam keadaan baik dan tidak boleh diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising.

Mana-mana individu yang membuat pengubahsuaian ekzos menjadi satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika disabitkan kesalahan.

Di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa menyita kenderaan terlibat. Biarpun tindakan mengubah suai ekzos salah di sisi undang-undang, namun masih ramai pengguna motosikal tidak ambil ‘pusing’ dengan perkara tersebut.

Hal ini kerana mereka percaya dengan mengubah suai ekzos, motosikal menjadi lebih laju. Hakikatnya, pihak polis pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ia hanyalah mitos dalam kalangan mat rempit.

Hasil siasatan polis mendapati, tindakan mengubah suai ekzos motosikal tidak mampu memberi kelajuan tambahan kepada motosikal, sebaliknya ia sekadar untuk memberi persaingan bunyi kepada pihak lawan.

Pada pandangan penulis, pengguna kenderaan tidak perlu dipersalahkan 100 peratus dalam hal ini.

Sebaliknya, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan terhadap penjual ekzos bising. Mereka ini mengaut untung besar, tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Selagi penjual tidak diambil tindakan, maka sentiasa ada pengguna motosikal yang akan menggunakan ekzos bising terutamanya dalam kalangan mat rempit.

Kita tidak mahu kes membabitkan Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, di Meru, Ipoh, Perak berulang lagi pada masa depan.

Hanya disebabkan bunyi ‘ekzos perang’, seorang pegawai kanan polis didakwa bertindak di luar kawalan sehingga mengorbankan nyawa Muhammad Zaharif dalam kejadian langgar pada 15 Disember lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN