Saudara Pengarang,
MINGGU lalu akhbar ini ada mengupas isu bujang senja yang kini semakin meningkat jumlahnya saban tahun.
Walaupun isu ini dikatakan agak skeptikal dan terlalu sensitif buat sesetengah orang, namun hakikatnya jika ia tidak dibendung tidak mustahil akan menyebabkan negara mengalami masalah populasi penduduk.
Pendapat saya, sebagai seorang yang mengikuti isu ini dan mempunyai beberapa kenalan yang kini dikategorikan sebagai bujang senja, ada beberapa perkara yang ingin saya kongsi mengapa ada segelintir terjebak menjadi bujang senja.
Pertama, ada segelintir daripada mereka ‘jual mahal’ ketika waktu muda dan terlampau memilih pasangan yang ‘sempurna’ sehingga banyak menolak yang ‘lalu’ depan mata.
Kedua, ada juga terlalu kejar kerjaya dan wang kononnya untuk hidup selesa di usia tua, tetapi akhirnya menyesal kerana duit sebenarnya tidak memberi kebahagiaan kepada mereka tanpa hadirnya pasangan.
Ketiga, ada juga rakan yang takut untuk hidup berpasangan selepas mereka melihat ‘kesusahan’, tidak bebas ke sana ke mari dan keruntuhan rumah tangga kawan-kawan yang lain.
Justeru, nasihat saya bagi mengelakkan isu ini berterusan elakkanlah perkara-perkara yang boleh menjerumuskan diri anda menjadi bujang senja.
Masa tengah laku, terima sahaja ‘tawaran’ yang ada didepan mata. Jangan terlalu memilih sebab kita juga bukanya insan sempurna.
Peluang kadang-kadang tidak hadir selalu jadi manfaatkanlah sebelum anda menyesal kemudian hari. Hidup berpasangan lebih baik dari hidup membujang.
Jangan sempitkan fikiran dengan pengaruh negatif, sebaliknya cari contoh yang terbaik untuk dijadikan pedoman. Setiap insan dijadikan untuk berpasangan, tepuk dada tanyalah hati.
Leman Pa’man
Jitra, Kedah














