MELAKA – “Sebulan ustaz beri RM350, makan sebagai upah qasidah di tepi pantai.”
Demikian pengakuan seorang remaja berusia 15 tahun yang diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas menjadi mangsa eksploitasi sebuah sekolah tahfiz untuk mengutip derma di tepi pantai terkenal di sini.
Katanya, dia bersama dua adiknya berusia 11 dan 14 tahun berasal dari Pasir Puteh, Kelantan dan dihantar ke sekolah tersebut oleh nenek mereka.
“Sebelum ini saya dan adik sekolah di tempat lain tetapi kami telah dipukul oleh mudir sebelum dihantar ke sini kerana ustaz merupakan kenalan ibu saudara kami.
“Sebulan ustaz bagi RM300 kepada saya dan adik-adik dapat RM50 sebagai upah qasidah. Saya memang tidak tahu masa hadapan saya macam mana, setakat ini kami hanya mengikuti apa yang ustaz suruh,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, perbuatan eksploitasi kanak-kanak perlu dihentikan oleh semua pihak.
“Ada empat lokasi eksploitasi kanak-kanak untuk mengutip derma dikesan di Melaka. Mereka akan menjaja makanan dan membuat persembahan di kaki lima pada waktu malam.
“Ada kes kanak-kanak itu menjaja atas kebenaran atau dihantar oleh ibu bapa mereka sendiri. Mereka akan dikenakan tindakan. Aktiviti ini sukar dihentikan kerana mereka menerima pulangan yang agak lumayan daripada orang ramai,” katanya.
Sehubungan itu katanya, orang ramai perlu menyalurkan maklumat dengan segera kepada pihak berkuasa atau berhenti menghulurkan derma atas alasan kasihan.
“Kami akan terus melakukan serbuan berkala dan mengejut bagi memastikan kegiatan tersebut dapat dibendung dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam eksploitasi berkenaan,” katanya.















