APALAH sangat jarak pemanduan 367 kilometer dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang demi menyaksikan konsert Ratu Rock negara menerusi Konsert Jilid Akhir:
Ella Puteri Kota yang berlangsung Spice Arena, Pulau Pinang Sabtu lalu. Semuanya demi Ella.
Penulis terdahulu mengikuti konsert yang sama di Axiata Arena, Kuala Lumpur dan kali ini di negeri kelahiran pemilik nama lengkap, Nor Zila Aminuddin itu.
Boleh disimpulkan di sini, Ella sememangnya mempunyai pengaruh luar biasa. Pada usia berbaki tiga tahun sebelum mencecah angka 60, dia teryata ‘puteri kota’!

Kerja keras sejak 1985 mula berkecimpung dalam dunia muzik terus terbukti menerusi konsert demi konsert yang dilunaskan berstatus ‘sold out’ pada usia 57 tahun.
Bukan itu sahaja, persembahan di Pulau Pinang memberi dampak bahawa Ella bukan sahaja seorang penghibur, dia juga seorang ‘rockstar’ yang cakna isu semasa.
Kasihnya terhadap rakyat Palestin terbukti dibuktikan dengan segmen persembahan yang diselitkan termasuk sejumlah RM30,000 berjaya dikumpul hasil derma penonton konsert.
Persembahan bermula saat Ella muncul berbusana serba putih mengibarkan bendera Palestin memberi simbolik solidariti terhadap rakyat di ‘penjara dunia terbesar’ itu yang sedang berdepan kezaliman kemanusiaan.

Free Palestin
Dalam nada tenang penuh keprihatinan, Ella menyeru: “Marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan berdoa buat saudara kita yang terkorban dan sedang bergelut dengan konflik peperangan di sana, ‘free Palestine’!”
Sebelum konsert diluncurkan, persembahan montaj 35 tahun penglibatan Ella sepanjang berada dalam bidang seni dipersembahkan melalui kesan audio visual menggamit memori dengan diiringi lagu Ulek Mayang.
Bermandi cahaya satu LED, satu Spice Arena bergema dengan teriakan dan tepukan lebih 14,000 penonton.
Pada malam persembahan, Ella mendendangkan hampir kesemua lagu hitnya biarpun terganggu dek masalah kesihatan yang tidak kunjung pergi sejak dua minggu sebelum konsert berlangsung.
Kendatipun, itu semua bukan alasan. Apa yang dipancarkan di pentas hanyalah komitmen, kasih sayang tidak berbelah bahagi terhadap peminat serta aura seorang ‘rockstar’ yang sangat luar biasa.

Batuk
“Walaupun berdepan dengan masalah kesihatan sejak dua minggu lalu akibat jerebu, saya agak risau jika malam konsert terpaksa dibatalkan, tapi berbekalkan doa serta semangat semua, saya berjaya melunaskan tanggungjawab pada malam ini untuk orang utara.
“Rasa terharu berbaur sedih kerana berpeluang dapat membuat persembahan di tempat asal kelahiran saya.
“Terima kasih buat semua yang ‘support’ solidariti saya terhadap Palestin melalui sumbangan kepada tabung Cinta Gaza Malaysia, salah satu cara kita dapat membantu secara fizikal dan sudah pastinya doa daripada anda semua,” katanya.
Memulakan persembahan dengan lagu berjudul Risau, Ella terus menggigit memori menerusi untaian lagu, antaranya, Belenggu, Tiada Tangis Lagi, Sujud,
Prinsip, Anak Patung, Retak, Pengemis Cinta, Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Layar Impian, Kitalah Bintang, Permata Biru, Standing In The Eyes Of The World dan Gemilang dengan hampir 40 buah lagu kesemuanya.
Ella tidak berseorangan menghiburkan audiens. Pentas juga digamatkan dengan penyanyi jemputan iaitu daripada anak saudaranya, Kaka Azraff menyanyikan lagu Bawaku Pergi bersama adik Ella sendiri, penyanyi era 1990-an, Korie, sebelum mereka berpadu menyanyikan lagu Pergilah Sayang.

Awie! Sambung di Sabah
Suami Ella iaitu Kapten Azhar Ghazali turut berduet romantis bersama isterinya itu melalui lagu Peace Love Rindu dan Mendung Tak Bererti Hujan.
Kejutan terbesar semestinya ketika Datuk Awie menderu masuk sebagai artis jemputan. Seluruh isi Spice Arena bersorak dan menyanyi bersama. Usai menyatu dalam Baldu Biru. Awie menghiburkan peminat dengan nyanyian solo melalui lagu hitnya, Di Penjara Janji.
“Saya pinjam pentas sekejap. Jangan lupa datang ke konsert Wings Disember nanti di Stadium Malawati Shah Alam,” demikian antara sembang Awie bersama peminat.
Siri Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota akan diteruskan ke Borneo yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan sekitar suku pertama 2024.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal yang ditemui pada sesi bersama media usai konsert.
“Saya bangga dapat bekerjasama dengan Ella sekali lagi kini di lokasi yang ketiga selepas kejayaan konsert di Kuala Lumpur yang memecah tradisi dengan jualan tiket ‘sold-out’ dalam masa 24 jam, dan di atas permintaan ramai, disambung ke malam kedua.
“Impian kami (Hitman Solutions) adalah terus meningkatkan penanda aras setiap konsert, memberikan sesuatu yang unik dan berlainan di setiap persembahan Ella.
“Nantikan konsert yang diadakan di Sabah pula, Jadi nantikan tarikhnya,” kata Rohit.
Jilid Akhir: Ella Puteri Kota menjadi antara pengalaman konsert penulis yang secara peribadi, akan kekal basah dalam ingatan sampai bila-bila.
Terima kasih Ella untuk sebuah lagi persembahan yang membekas. Terima kasih Pulau Pinang. Terima kasih untuk Palestin.















