KOTA BHARU – Simpanan barang kemas yang dimiliki seorang ejen jualan produk kosmetik telah menyelamatkan seorang ibu anak lima daripada hidup merempat di tepi jalan selepas diceraikan suami 11 tahun lalu.
Mardiana Mohd. Nor, 41, berkata, selepas bercerai dengan seorang kontraktor, dia yang merupakan seorang suri rumah ketika itu hanya bergantung kepada hasil jualan barang kemas peribadinya untuk memulakan hidup baharu.
Dia yang mendapat hak jagaan lima orang anak itu telah menjual beberapa utas subang, rantai dan gelang tangan yang dihadiahkan oleh ibunya dengan memperoleh wang tunai sebanyak RM30,000.
“Wang itu saya buat modal untuk menjual kuih-muih selain membayar sewa rumah. Jika tiada simpanan emas ketika itu, sudah pasti kami sekeluarga terpaksa merempat,” katanya yang sudah berkahwin dengan seorang jejaka lapan tahun lalu.
Mardiana yang kini menjalankan perniagaan penyediaan makanan memberitahu, setiap bulan dia pasti akan membeli barang kemas dengan bajet antara RM10,000 hingga RM15,000 untuk dirinya sendiri dan anak-anak.
“Sekarang saya mempunyai kira-kira 100 barang kemas seperti cincin, subang, rantai dan gelang. Saya akan memakai perhiasan itu bergilir-gilir.
“Saya tidak hidup mewah, sebaliknya hanya sewa rumah papan dan memandu kereta terpakai, tetapi saya tetap beli emas sebagai pelaburan masa depan dan simpanan buat saya sekeluarga,” katanya.
Mardiana juga meletakkan sasaran akan menjual kebanyakan barang kemas miliknya untuk membeli sebuah rumah banglo pada tahun depan secara tunai.
Sementara itu, seorang lagi peminat tegar barang kemas, Nurul Shazrina Abdullah, 28, berkata, kebiasaannya dia akan berkunjung ke kedai emas tiga bulan sekali untuk membeli emas yang bernilai RM15,000.
“Sebagai seorang kontraktor, simpanan emas ini banyak membantu saya. Kadangkala saya menjual emas kepada pihak bank untuk menunjukkan aliran tunai dalam akaun sebagai syarat untuk mendapatkan sesuatu projek.
“Saya pernah menjual emas rekaan lama yang sudah tidak dipakai dan memperoleh RM58,000. Jualan emas amat menguntungkan,” ujarnya.














