Baru-baru ini tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang wanita dipukul bakal suaminya seminggu sebelum mereka bernikah gara-gara bertanyakan tentang kecurangan yang dilakukan lelaki itu.
Berdasarkan pengakuan lelaki itu, mereka bernikah selepas itu dan dikurniakan seorang anak. Pasangan tersebut kini dalam proses penceraian.
Mengulas mengenai perkara itu, Speaker Kewanitaan dan Psikologi, Dr. Nurul Saidatul Husna Mohamad Ab. Karim berkata, wanita yang sukar untuk keluar daripada hubungan toksik adalah disebabkan distorted thoughts (pemikiran cacat) akibat dimanipulasi secara berterusan oleh pasangannya.
Menurut penulis buku Formula Penjagaan Diri Gadis Remaja itu, biasanya lelaki memiliki ciri-ciri narsistik cenderung memperlihatkan dirinya berada di zon yang betul.
“Lelaki seperti ini akan memanipulasi atau mengubah cara pemikiran pasangan. Dia akan selalu memperlihatkan dirinya betul.
“Apabila berterusan, wanita itu akhirnya akan keliru, buntu dan salahkan diri sendiri. Ini yang kita panggil pemikiran cacat. Wanita itu akan berada di titik terendah dalam hidupnya.
“Kemudian wanita itu akan mula bercakap dengan diri sendiri dan rasa hilang nilai harga diri. Jadi, sebelum bertindak, misalnya buat laporan polis atau memfailkan penceraian, dia akan fikirkan akibatnya seperti akan dipukul teruk oleh pasangannya atau sebagainya.
“Akhirnya, wanita itu memilih untuk kekal dalam hubungan toksik selain faktor anak, kewangan, latar belakang keluarga dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Jelasnya, wanita yang sudah nampak warna sebenar pasangan dan memilih untuk bersama lelaki itu kebanyakannya meletakkan harapan tinggi kepada pasangan kononnya mereka boleh berubah selepas berkahwin.
“Kebanyakan wanita termakan dengan kata-kata orang sekeliling bakal suami boleh berubah, hakikatnya berapa ramai yang berjaya berubah selepas kahwin?
“Manusia dibentuk daripada pelbagai elemen contohnya suasana, latar belakang keluarga seperti cara dibesarkan. Kalau dari kecil dibesarkan dengan cara dipukul, mustahil dia tidak buat perkara yang sama dengan pasangannya,” katanya.
Mengulas lanjut, ikon wanita Saidatina Khadijah Negeri Kelantan 2021 itu berkata, baik lelaki atau wanita, mereka perlu kembali kepada agama dan menitikberatkan akhlak pasangan sebelum berumah tangga.
Tambahnya, apabila seseorang memberi perhatian kepada agama, individu tersebut akan lebih faham kepada moraliti dan keutamaan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.
“Bila seseorang berpegang kuat pada agama, ada panduan untuk membina institusi keluarga yang kukuh. Suami akan tahu tanggungjawabnya, isteri pun tahu peranannya, sama juga seperti anak-anak.
Kalau rosak agama, maka rosaklah institusi kekeluargaan.
“Kedua, akhlak perkara yang paling penting mencerminkan sivik, peradaban dan nilai-nilai murni. Akhlak yang baik merupakan kunci utama untuk membentuk institusi keluarga yang baik. Jangan pilih bertahan kerana kasihan, harga diri rendah, susah nak dapat kerja dan lain-lain.
“Pesanan saya kepada wanita, kurangkan beremosi, banyak berfikir secara rasional. Apabila bertindak kurang menggunakan emosi, setiap tindakan akan ‘cantik’ dan tersusun dengan elok,” kata beliau.














