fbpx
MACKENYU

Mackenyu, ‘Zoro’ kegilaan ramai rupanya suami orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA sedang berseronok dengan kehidupan sebagai pelakon sekarang.”

Demikian kata pemain karakter Roronoa Zoro dalam siri paling laris di dunia ketika ini, One Piece.

Bintang yang dimaksudkan, Mackenyu Arata atau nama pentasnya, Mackenyu.

Usai karya tersebut menjadi satu fenomena global, namanya meledak-ledak.

Dalam satu wawancara bersama media antarabangsa yang dimuat naik dalam YouTube, di bibir lelaki berusia 27 itu tidak terluah secebis pun penyesalan bergelar seorang pemain seni.

Dia bahkan bersyukur dengan peluang keemasan yang terbuka buatnya.

“Saya sangat berterima kasih dan bersyukur dikurniakan peminat dari seluruh dunia.

Bersyukur, kegilaan One Piece

“Tiada apa yang saya inginkan selain berada pada posisi sekarang,” ujarnya.

Memulakan karier lakonan seawal tahun 2015 pada usia 19 tahun, Mackenyu bukan calang-calang pelakon di Jepun. Dia antara aktor negara Matahari Terbit itu yang berjaya menembusi pasaran Hollywood.

Penglibatan dalam siri One Piece, lagi mengukuhkan namanya di pentas antarabangsa. Kegilaan khalayak terhadap dirinya semakin menjalar dengan terjemahan sempurna karakter Zoro dalam naskhah yang turut diterajui dua bintang handalan, Iñaki Godoy sebagai Luffy dan Emily Rudd (Nami) itu.

Memulakan karier lakonan seawal usia 19 tahun, nama Mackenyu dikenali menerusi trilogi, Chihayafuru memainkan karakter Arata Wataya.

Selain dilahirkan berwajah kacak dan bertubuh sasa, Mackenyu juga hadir bersama personaliti yang sangat unik.

Dalam kebanyakan video wawancara atau temu bual, dia seorang yang suka berlawak dan berseloroh dengan sesiapa pun. Namun satu hal yang pasti, dalam bicaranya, tetap terkandung jisim berat yang mampu dijadikan rujukan.

Mampu berkomunikasi dengan baik dalam dua bahasa iaitu Inggeris dan Jepun, realitinya, impian Mackenyu sama juga dengan misi Zoro dalam One Piece.

Cernaan watak Zoro dilihat sebagai seorang yang memiliki ambisi tinggi diangkat sebagai pemain pedang hebat dunia. Secara peribadi, dia juga ingin menjadi pelakon terbaik.

“Saya sangat berasa bangga kerana berjaya membawa watak Zoro. One Piece adalah anime atau manga yang paling hebat dan epik di Jepun.

Selain dikurniakan dengan wajah kacak, Mackenyu juga seorang bijak berseloroh dengan jenaka yang tidak masuk akal.

“Ada banyak peminat One Piece di seluruh dunia. Saya tahu ramai peminat yang menulis tentang karakter Zoro saya jayakan dalam Internet namun saya tak baca semua.

“Sungguhpun begitu, saya sangat gembira dengan penerimaan peminat terhadap siri yang menjadi kegemaran dunia ini,” ujarnya dalam satu wawancara ringkas tayangan perdana siri terbabit.

Ketika ramai wanita di luar sana ‘terliur’ dengan karisma, pesona dan ketampanan Mackenyu sebagai Zoro, dukacitanya dinyatakan di sini bahawa lelaki itu bukan berstatus solo.

Aktor kelahiran Los Angeles, California sudah berkahwin dengan seorang wanita bertuah awal tahun 2023 dan dia memilih seorang wanita yang bukan datang dari industri hiburan.

Bermakna, permaisuri hidupnya hidup jauh daripada ketaksuban dan gemerlapan glamor. Barangkali itu adalah pilihannya dalam mencapai keseimbangan hidup manusiawi.

‘Zoro’ suami orang

“Saya tak pernah jumpa wanita secomel dan secantik dia (isteri saya).

“Saya terus ingin memperisterikannya sejurus selepas pertama kali kami bertemu,” katanya seperti dipetik portal Japan Reporter.

Berbicara tentang kejelitaan si isteri yang bernama Natsuki, Mackenyu berkata, rupa paras isterinya itu saling tidak tumpah seperti ibu kandungnya.

Mackenyu mendefinisikan perkahwinannya dengan Natsuki yang bukan orang hiburan seumpama memenangi ‘loteri’ terbesar dalam hidup.

“Ramai yang cakap isteri saya umpama ‘kembar’ kepada ibu saya. Mereka memang cantik dan saya sangat beruntung memiliki kedua-duanya dalam kehidupan,” tuturnya.

Melontarkan kata-kata soal keberuntungan mempunyai isteri yang sangat memahami, terutama karier sebagai seorang lelaki bergelar aktor, Mackenyu berkata, isteri tidak ubah seperti ‘loteri’.

“Setiap hari saya bercakap kepada diri bahawa saya sudah menang loteri besar selepas memperisterikan Natsuki.

“Saya sayang isteri lebih daripada segala-galanya dan berulang-ulang kali saya ingatkan kepada diri sendiri betapa beruntungnya saya memilikinya sebagai teman sehidup semati,” getusnya dalam wawancara sama.

Biarpun lahir di negara Uncle Sam, Mackenyu sangat berbangga dengan susur galur keturunannya sebagai orang Jepun.

Dalam kebanyakan pertemuan dengan media antarabangsa, dia sentiasa ‘mengibarkan bendera’ Jepun bersamanya.

“Ramai orang tanya sama ada saya peminat manga atau anime? Jawapan saya mudah iaitu saya orang Jepun.

“Kenapa tanya saya soalan sebegitu sedangkan anda sudah tahu apa jawapannya,” ujarnya optimis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN