SAAT subuh mula menjelma pada Isnin, 12 Rabiulawal tahun Gajah, lahir seorang nabi dan rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT untuk umat manusia. Aminah melahirkan baginda dalam keadaan yatim dan serba kekurangan.
Kebenaran tentang keputeraan Nabi Muhammad SAW sudah diriwayatkan dalam kitab samawi, termasuk Zabur, Taurat, Injil serta lisan nabi-nabi yang diutuskan sebelum baginda.
Bahkan, rahmat Allah kepada hamba-Nya yang memuliakan Rasulullah sungguh besar sejak sebelum zaman kelahiran baginda lagi.
Ini dibuktikan menerusi satu kisah daripada seorang tabiin, Wahb bin Munabbih yang meriwayatkan berita Israiliyat daripada naskhah-naskhah Ahlul Kitab.
Menurut catatan yang direkodkan dalam kitab al-Sirah Al-Halabiyyah, terdapat seorang insan yang dibenci oleh Bani Israel kerana melakukan maksiat selama 100 tahun.
Disebabkan kehidupan yang penuh hina, mayatnya bukan sahaja tidak diuruskan, malah dibuang ke tempat pembuangan sampah.
Namun, Allah mewahyukan kepada Nabi Musa AS untuk menguruskan jenazah hamba-Nya itu dengan baik.
Lalu Nabi Musa bermunajat kepada Allah tentang kehinaan yang dikaitkan dengan insan itu.
Allah mewahyukan semula kepada Nabi Musa AS bahawa benar insan tersebut bermaksiat.
Namun, ketika membaca kitab Taurat, insan itu merenung nama ‘Ahmad’ (Muhammad), lalu berhenti sebentar untuk kucup dan merapatkannya di atas kedua-dua matanya.
Di atas tindakannya memuliakan Rasulullah, insan itu diampunkan dosanya dan dikahwinkan dengan 70 bidadari syurga.
Menurut Pensyarah Jabatan al-Syariah, Fakulti Pengajian Islam Kontemporari, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dr. Mohd. Azhar Abdullah, amalan mengagungkan Rasulullah membolehkan setiap hamba Allah menerima ganjaran besar.
“Kisah ahlul kitab membuktikan bahawa besar ganjaran pahala bagi mereka yang memuliakan Nabi Muhammad biarpun sebelum baginda dilahirkan ke dunia.
“Ini membuktikan sebarang bentuk rasa cinta terhadap Rasulullah merupakan amalan terpuji di sisi Allah. Termasuk menyambut Maulidur Rasul,” katanya kepada K2.
Dalam sebuah kitab yang ditulis ulama Arab Saudi, Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki, secara konsepnya, Maulidur Rasul telah dizahirkan pada akhir zaman Salafussoleh.
Pada ketika itu, para sahabat nabi berpuasa pada hari Isnin sempena peristiwa kelahiran Rasulullah, turunnya wahyu, nabi melakukan hijrah dan kewafatan Rasulullah.
Kemudian, amalan mengagungkan Nabi Muhammad berkembang kepada penulisan kitab-kitab sirah Rasulullah oleh para ulama bermula 85 Hijrah.
Seterusnya pada 362 Hijrah, Sultan Hamu Musa di Maghribi mula meluaskan lagi cara memperingati Rasulullah dengan menjemput ulama-ulama untuk membaca sirah-sirah Rasulullah di istana.
Amalan itu mula tersebar di wilayah sekitar sehingga pada 391 Hijrah iaitu ketika kerajaan dinasti Fatimiah di Mesir.
Menurut pandangan Rasyid Redha Raja Syarkas, Mesir mula menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai satu perayaan besar-besaran, khususnya pembacaan sirah kelahiran Rasulullah.
Kemudian, sambutan Maulidur Rasul semakin berkembang pada zaman pemerintahan Raja Irbil (wilayah Iraq sekarang) yang bernama Muzhaffaruddin al-Kukbiri.

Bermula pada 630 Hijrah, seluruh rakyat dan ulama daripada pelbagai disiplin ilmu diundang ke istana untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul.
Tradisi sambutan Maulidur Rasul semakin menjalar dan mengukuh sehingga ke hampir semua wilayah-wilayah Islam di dunia disebabkan penglibatan pihak kerajaan dan orang Muslim secara langsung.
Tambah Pengarah Institut Bahasa Antarabangsa (IBA), KIAS itu, Maulidur Rasul bukanlah sambutan untuk mengingati hari kelahiran Rasulullah semata-mata.
Ujarnya, sambutan tersebut sebenarnya salah satu pendekatan untuk mengembalikan manusia kepada risalah kenabian Nabi Muhammad dan dakwah Islam itu sendiri.
“Pada falsafahnya, Maulidur Rasul merupakan acara kemuncak kepada amalan memperingati dan menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah.
“Syeikh Ibn Taymiyyah berpendapat, mereka yang mengagungkan maulid akan memperoleh ganjaran atas tujuan yang murni dan kecintaan mereka terhadap Rasulullah,” jelasnya lagi.
Malah, Imam al-Suyuti menegaskan, mana-mana tempat yang mengagungkan Maulidur Rasul, malaikat akan menghamparkan sayap-sayapnya dan dinaungi rahmat Allah.
Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi umat Islam agar tujuan sambutan tidak menyimpang terutama apabila dicampurkan dengan pengaruh budaya dan adat.
Antara syarat Maulidur Rasul adalah sambutan dibuat atas rasa cinta kepada Rasulullah yang tidak bermusim, berlandaskan syariat, tidak mewajibkan amalan tidak wajib dan memperkasakan dakwah dalam sambutan.
Menurut pensyarah berusia 55 tahun itu, terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan sambutan Maulidur Rasul yang harus diperbaiki agar tujuan penganjurannya tidak tersasar.
“Keterikatan kepada acara tradisi maulid menyebabkan golongan muda gagal memahami tujuannya.
“Dalam situasi sama, penyertaan budaya negatif seperti pergaulan bebas, persembahan muzik yang melalaikan, kehadiran kaum wanita bertabarruj, berlebih-lebihan sehingga membawa pembaziran dan mewajibkan sambutan sehingga membebankan masyarakat itu telah mencemarkan tujuan asal sambutan Maulidur Rasul.
“Cara terbaik adalah para agamawan menggunakan kesempatan ini untuk merebut peluang berdakwah secara hikmah.
Antaranya, memberikan tazkirah dan mengajak masyarakat dengan amalan-amalan yang sangat dicintai Rasulullah seperti solat berjemaah dan memuliakan fakir
berbanding acara berselawat, jamuan serta berarak,” katanya.
Mengulas lanjut, anak kelahiran Kelantan itu berkata, pertikaian pendapat tentang tradisi sambutan Maulidur Rasul akan terus ‘berkocak’ disebabkan terdapat tiga kelompok.
Mohd. Azhar berkata, ada golongan yang terlalu terikat dengan tradisi sambutan, golongan yang menolak sepenuhnya atas pendapat bidaah serta golongan wasatiyyah (seimbang dan terbuka).
Selain itu, terdapat percanggahan pendapat dalam kalangan ulama berkenaan tarikh sebenar hari keputeraan Rasulullah yang tidak wajar dipertikaikan.














