PERUSAHAAN Otomobil Nasional (Proton) merupakan pengeluar kereta pertama Malaysia. Proton ditubuhkan pada 7 Mei 1983 bertujuan memperhebat bidang perindustrian di negara ini.
Projek bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melahirkan kereta negara ini bermula pada tahun 1979 dan telah diluluskan Kabinet pada tahun 1982.
Kerjasama bersama Mitsubishi Motors berjaya menghasilkan kereta pertama dengan tanda nama Saga yang dilancarkan pada 9 Julai 1985.
Sejak itu, Proton terus berkembang dan melalui pelbagai fasa.
Selama kira-kira empat dekad mewarnai industri automotif Malaysia, lebih kurang 30 model kenderaan Proton telah diperkenalkan kepada pengguna.
Bahkan, jenama Saga terus bertahan dan kini memikat hati ramai menerusi Saga generasi ketiga sejak tahun 2016.
Sempena sambutan Hari Malaysia hari ini penulis ingin berkongsi tujuh model terpilih dalam sejarah Proton dari Saga hingga yang terbaharu, X90.
Proton Saga
Proton Saga dilancarkan pada tarikh 9 Julai 1985 sebagai model kereta Proton yang pertama. Model ini diasaskan daripada Mitsubishi Lancer Fiore dengan menawarkan enjin 1.3 liter dan 1.5 liter.
Pada tahun 1987, Proton telah memperkenalkan varian hatchback dikenali sebagai Proton Knight atau Proton Saga Aeroback.
Dua tahun selepas itu, model ini telah dieksport ke United Kingdom dan telah menjadi penyumbang utama pasaran eksport jenama tersebut.
Model ini turut popular dalam kalangan pemandu teksi kerana harga yang ditawarkan mampu milik dengan kos selenggara yang munasabah.
Nama Saga bermaksud Safety, Achievement, Greatness, Ability.

Proton Wira
Pada tahun 1993, Proton Wira telah dilancarkan. Model ini dibina berasaskan Mitsubishi Lancer generasi keempat. Setahun selepas itu model Aeroback juga turut diperkenalkan.
Model ini juga mendapat sambutan kerana pada ketika itu rekaannya lebih bulat berbanding Saga sekali gus kelihatan lebih sporty.
Proton Wira turut dieksport keluar negara dengan menggunakan nama lain seperti Persona.
Kereta yang pernah mendapat jolokan paling popular di Malaysia ini turut pernah menempa nama kerana pada tahun 1998 satu ekspedisi khas telah dibuat dengan mendaratkan Proton Wira menggunakan payung terjun di Kutub Utara.
Penulis difahamkan, kereta itu berjaya dihidupkan dan bergerak selepas mendarat. Kereta ini sekarang ada dipamerkan di Proton Centre of Excellence, Shah Alam.
Proton Perdana
Proton Perdana dilancarkan pada tahun 1995 dan dibina berasaskan model Mitsubishi Galant generasi ketujuh untuk generasi pertama.
Model ini merupakan kereta sedan segmen D pertama keluaran Proton yang menarik pembeli-pembeli daripada kalangan golongan elit pada ketika itu.
Rekaan yang besar dan mewah juga mungkin antara faktor Proton Perdana dipilih sebagai kenderaan rasmi Perdana Menteri dan barisan menteri di Malaysia pada masa itu.

Proton Waja
Proton Waja dilancarkan pada tahun 2000 dengan memperkenalkan imej yang lebih segar berbanding model-model sebelum itu.
Model ini turut menerima sambutan yang menggalakkan lebih-lebih lagi dengan menawarkan ‘Lotus Handling’ pada ketika itu.
Rata-rata pemilik Waja memuji tahap pengendalian kereta ini yang berbeza dan menyeronokkan.
Selepas beberapa tahun dilancarkan model ini telah menerima enjin pertama yang dibuat Proton dengan kerjasama Lotus yang dipanggil Campro.
Proton Putra
Sebuah lagi kereta sport yang pernah diperkenalkan Proton ialah Putra. Proton Putra merupakan sebuah kereta sport coupe.
Model ini dibina berasaskan Mitsubishi Mirage dan berkongsi enjin serta transmisi yang sama dengan Satria GTI.

Proton Satria GTI
Satria GTI merupakan antara produk yang dikeluarkan selepas Proton berkerjasama dengan Lotus pada Oktober 1996.
Penulis difahamkan, pembangunan kereta ‘hothatch’ Malaysia ini ada kena mengena dengan jenama Lotus itu.
Model ini juga menjadi idaman peminat-peminat kereta ketika itu walaupun harganya lebih mahal daripada Wira.
Proton Satria GTI menggunakan enjin 1.8 liter dengan transmisi manual lima kelajuan.
Proton X90
Model terbaharu Proton ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan Mei lalu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Kenderaan utiliti sukan (SUV) ini ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship pada harga bermula RM123,800.
Proton X90 menggunakan enjin 1.5 TGDi yang dipadankan dengan motor elektrik 48V serta direka untuk meningkatkan kecekapan bahan api.
SUV bersaiz besar ini turut hadir dengan pelbagai ciri dan teknologi terkini seiring dengan jenama lain.
Kesimpulannya, evolusi Proton sejak model pertama dilancarkan dahulu menyaksikan banyak perubahan dan teknologi yang ditawarkan pada model-model Proton juga mampu bersaing dalam pasaran semasa.














