fbpx
Teknologi AI telah digunakan dalam penyampaian berita. – Gambar hiasan

AI tak mampu tandingi kecerdasan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGGUNAAN teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi perbualan hangat sejak kebelakangan ini.

Pelbagai sektor termasuk pembuatan, kewangan, pemasaran dan pengiklanan, selain industri seni serta kreatif berlumba-lumba menggunakan AI rentetan perkembangan teknologi berkenaan.

Pada masa sama, perkembangan teknologi AI menjadi kegusaran dan kerisauan banyak pihak kerana didakwa akan mengambil alih peranan hakiki manusia, sekali gus menyebabkan hilangnya pekerjaan.

Bagi membincangkan lebih lanjut mengenai hal-hal berkaitan AI, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual pensyarah di Fakulti Sains Komputer & Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkap Presiden Kecerdasan Buatan Malaysia, Dr. Azree Shahrel Ahmad Nazri baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Sejak kebelakangan ini, kecerdasan buatan (AI) sering menjadi topik perbincangan utama di media. Hakikatnya, masih ramai yang tidak tahu teknologi ini. Sebagai pakar, boleh Dr. ceritakan apa itu teknologi AI?
AZREE SHAHREL: Walaupun kita telah banyak mengkaji AI selama bertahun-tahun, namun masih belum ada persetujuan umum tentang apa sebenarnya AI itu.

Semua pemikir, sejak zaman Aristotle telah berusaha memahami apa yang membuat seseorang atau sesuatu menjadi pandai.

Kecerdasan wujud dalam pelbagai bentuk seperti matematik, bahasa, strategi, kreativiti, dan kemampuan fizikal. Menurut definisi teknikal oleh Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE),

AI adalah tentang automasi kognitif untuk menghasilkan pemahaman dan analisis setara atau lebih baik daripada kemampuan manusia.

Ujian Turing digunakan untuk menguji AI yang setara dengan manusia. Ia adalah ujian yang mudah, jika mesin boleh berbual dengan manusia tanpa manusia menyedari bahawa ia adalah mesin, maka mesin tersebut telah menunjukkan kecerdasan manusia.

Istilah ‘mesin’ sering digunakan kerana ia merangkumi semua perkakasan elektronik di sekitar kita seperti komputer, mesin basuh, telefon pintar, dan banyak lagi. Teknologi ini bermula daripada kertas penyelidikan yang ditulis oleh ahli matematik terkenal dari Cambridge, Alan Turing yang mengemukakan satu soalan menarik iaitu: “Bolehkah mesin berfikir?”.

AI terbahagi kepada dua kategori utama iaitu AI terhad (Narrow Artificial Intelligence) yang digunakan saat ini dan AI am (General Artificial Intelligence) yang masih dalam pembangunan dan dijangka tersedia dalam tempoh lima ke 10 tahun lagi.

Secara umumnya, apakah bidang-bidang yang boleh menggunakan AI?
Struktur ekonomi seluruh dunia terdiri daripada sektor primer, sekunder dan tertier. Teknologi AI adalah teknologi merentas sektor (horizontal technology) yang digunakan secara meluas dalam ketiga-tiga sektor ini.

Sektor primer terdiri daripada bidang pertanian dan perlombongan. Dalam bidang pertanian, teknologi AI digunakan untuk mengenal pasti penyakit tanaman atau serangga perosak dan teknologi dron berautonomi untuk penyemburan racun serangga perosak atau baja.

Gabungan teknologi AI dan teknologi sistem maklumat geografi (Geographic Information System) memberikan kelebihan dalam perlombongan untuk mengenal pasti lokasi mineral. Kerajaan juga menggunakan gabungan teknologi ini untuk memantau aktiviti perlombongan haram.

Sektor ekonomi sekunder juga menerima manfaat teknologi AI dalam pembuatan dan pembinaan.
Kilang pintar (smart factory) menggunakan gabungan teknologi kecerdasan buatan dan teknologi internet pelbagai benda untuk meningkatkan pengeluaran dalam pelbagai bidang pembuatan.

Teknologi Model Maklumat Bangunan digunakan dalam bidang pembinaan untuk menguruskan maklumat tentang ciri-ciri fizikal dan fungsi bangunan.
Dalam sektor tertier seperti perkhidmatan kerajaan dan swasta, teknologi seperti Automasi Proses Robotik digunakan secara meluas.

Bagaimanakah pandangan Dr. mengenai perkembangan AI di Malaysia ketika ini?
Perkembangan AI di Malaysia agak tertinggal dalam pelaksanaannya, walaupun pelbagai pelan hala tuju telah diperkenalkan di peringkat nasional. Perlu difahami bahawa AI adalah salah satu aspek penting dalam Revolusi Industri 4.0.

Objektif utama Revolusi Industri 4.0 adalah menggantikan tenaga buruh kepada mesin berkeupayaan manusia seperti memiliki kapasiti kepintaran.

Malangnya, tiada hala tuju peringkat nasional yang memasukkan unsur ini sebagai hala tuju utama.

Kita melihat bahawa pelbagai agensi kerajaan sedang bergelut untuk mencipta ‘tuah’ daripada teknologi ini dan masih berada di jalan buntu.

Dari segi kebaikan, ramai beranggapan bahawa teknologi ini akan memudahkan tugas manusia. Boleh Dr. terangkan bagaimana ia boleh membantu manusia?
Teknologi AI adalah satu alat yang berpotensi besar untuk memudahkan kehidupan manusia. Ia boleh membantu manusia dalam pelbagai aspek kehidupan.

Contohnya dalam bidang perubatan, teknologi AI digunakan untuk menganalisis data kesihatan pesakit dengan cepat dan tepat yang membolehkan doktor membuat diagnosis lebih baik serta meramalkan penyakit lebih awal.

Ia juga digunakan untuk menjalankan penyelidikan perubatan yang kompleks dengan lebih pantas, membawa kepada penemuan rawatan lebih berkesan. Di sektor pertanian, AI membolehkan petani memantau tanaman dan haiwan dengan lebih efisien, membantu mereka meningkatkan hasil tanaman dan pengeluaran ternakan.

Contoh lain adalah dalam perkhidmatan pelanggan, di mana chatbot AI boleh memberikan jawapan kepada pertanyaan pelanggan dengan cepat dan berkesan, menjimatkan masa pelanggan dan sumber syarikat.

Dengan kata lain, teknologi AI mampu membantu manusia dalam menyelesaikan masalah dan tugas-tugas yang memerlukan pemprosesan data besar dengan cepat serta tepat.

Terdapat kebimbangan bahawa AI akan menyebabkan manusia hilang pekerjaan. Sejauh mana kebenarannya?
Ini adalah isu yang mencetuskan kontroversi dan jawapan yang tepatnya sukar untuk diberikan.

Pada pendapat saya, terdapat dua kesudahan revolusi AI. Pertama, beberapa faktor dan hujah menyokong idea bahawa kebanyakan orang mungkin akan terus bekerja seperti biasa, tanpa perubahan besar.

Mereka mungkin memilih untuk bekerja seperti sekarang. Kedua, pandangan lain mengarah kepada pemikiran bahawa banyak orang mungkin lebih cenderung memilih peningkatan masa lapang daripada peningkatan pendapatan.

Jika revolusi AI benar-benar mengakibatkan penurunan besar dalam permintaan tenaga kerja atau jika orang ramai dapat memilih untuk kurang bekerja dan mempunyai lebih banyak masa lapang, asalkan mereka mempunyai sumber pendapatan mencukupi. Ini sepatutnya tidak menjadi masalah besar.

AZREE SHAHREL

Terdapat juga kebimbangan mengenai perbuatan jenayah, misalnya memanipulasi gambar dan sebagainya. Sejauh manakah impak AI kepada jenayah?

AI boleh membawa kepada masalah jenayah yang serius.menerusi kemampuannya untuk memanipulasi gambar dan video dengan sangat cekap.

AI boleh digunakan untuk mencipta gambar atau video palsu yang boleh menjejaskan reputasi seseorang atau menyebarkan maklumat palsu. Ini boleh mengakibatkan fitnah dan merosakkan nama baik individu atau organisasi. Terdapat pelbagai cara di mana AI boleh membawa kepada masalah jenayah.

Contohnya, penyebaran berita palsu yang mana AI boleh digunakan untuk mencipta berita palsu dalam bahasa Melayu dengan gambar palsu, sekali gus mengelirukan orang ramai.

Keduanya, penipuan dalam talian yang mana penjenayah boleh menggunakan chatbot AI untuk menjalankan penipuan dalam talian yang lebih canggih, seperti penipuan pelaburan.

Apakah persediaan awal yang perlu kita ambil sekiranya teknologi AI digunakan secara meluas pada masa depan?
Apa yang boleh kita lakukan? Di sini, saya memberikan garis panduan daripada pakar tentang apa yang boleh dilakukan. Ini beberapa konteks kepada langkah yang lebih radikal, iaitu pengenalan pendapatan asas universal (UBI).

Idea UBI adalah pemberian pendapatan tetap kepada setiap individu (atau isi rumah), tanpa mengira keadaan kewangan atau lain-lain dan tanpa perlu memenuhi sebarang syarat, selain menjadi warganegara Malaysia.

Pendidikan adalah contoh lain fenomena yang perlu kita hadapi.
Mata pelajaran yang perlu diajar mengalami revolusi, dengan mata pelajaran Seni diabaikan, digantikan dengan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sahaja.

Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh kerajaan bagi memastikan teknologi AI tidak disalah gunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab?
Kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan teknologi AI tidak disalah gunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagi melaksanakannya, terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan.

Pertamanya adalah penyelarasan regulasi yang mana kerajaan boleh mengambil langkah untuk menyelaraskan dan memperbaharui undang-undang sedia ada berkaitan dengan teknologi AI.

Ini termasuk undang-undang privasi data, hak cipta, keselamatan siber, dan lain-lain. Contohnya, Malaysia telah melancarkan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 untuk mengawal pemprosesan data peribadi oleh organisasi.

Kedua, penggubalan undang-undang khusus. Dalam beberapa kes, undang-undang khusus mungkin diperlukan untuk mengawal AI.

Ketiga, penyelidikan dan pembangunan (R&D). Kerajaan boleh memberi sokongan kepada penyelidikan dan pembangunan AI yang beretika. Ini melibatkan pemberian dana dan insentif kepada penyelidik serta syarikat yang mengembangkan solusi AI.

Robot AI mendakwa bahawa mereka boleh mentadbir dunia. Pada pendapat Dr., mampukah perkara ini terjadi?
Idea bahawa robot AI boleh mentadbir dunia ini adalah sesuatu yang menarik untuk dibincangkan.

Namun, kita perlu memahami bahawa AI pada masa ini masih pada tahap pembangunan awal dan banyak cabaran serta isu yang perlu diselesaikan sebelum AI boleh mengambil peranan mentadbir dunia.

Terkadang, tugas yang kita anggap sangat rumit untuk dikerjakan oleh robot dan AI sebenarnya boleh dilakukan dengan mudah oleh mereka.

Tetapi, tugas yang kelihatan sangat mudah bagi manusia sering menjadi sukar bagi robot dan AI. Paradoks ini sering disebut sebagai paradoks Moravec.

Contohnya, robot dan AI dapat memecahkan masalah matematik dengan cepat dan tepat. Namun, jika kita minta robot melipat kain, ia menjadi sukar, bahkan mustahil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN