DEBARAN untuk merasai kehangatan Pestabola Merdeka semakin dirasai apabila saingan bola sepak jemputan itu akan berlangsung tidak lama lagi bermula 13 hingga 17 Oktober depan.
Sejak dianjurkan buat kali pertama sempena tahun kemerdekaan negara pada 1957, kejohanan Pestabola Merdeka telah dianjurkan sebanyak 41 kali dengan Malaysia muncul juara sebanyak 10 kali.
Jika dibandingkan dengan kejohanan jemputan yang lain seperti Piala Raja Thailand yang menggunakan konsep hampir sama, Pestabola Merdeka dilihat masih memiliki prestij tersendiri.
Justeru, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila kejohanan ini digelar Grand Old Lady of Asia dengan banyak negara menantikan jemputan untuk bersaing merebut trofi yang memberi nilai sentimental itu.
Paling diingati sudah tentulah beberapa perlawanan epik yang dilangsungkan di venue keramat, Stadium Merdeka dengan penyertaan negara-negara serantau benua Asia seperti Korea Selatan, India dan Jepun.
Sebagai contoh, Malaysia telah tewas kepada Korea Selatan pada aksi final edisi 1972 dengan keputusan 1-2, selain berjaya merekodkan kemenangan ke atas Jepun 2-0 pada final 1976.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan saingan ikonik ini telah memberi impak besar rakyat Malaysia dalam menjadikan bola sepak sebagai sukan No. 1 di negara ini sejak 66 tahun lalu.
Selain itu, saingan ini juga telah melahirkan beberapa pemain bertaraf legenda bagi skuad Harimau Malaya seperti Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Sho Chin Ann dan Tan Sri Abdul Ghani Minhat.
Legenda bola sepak tanah air, Datuk Dollah Salleh mengakui aura bulan kemerdekaan memang menaikkan lagi semangat pemain selepas melalui banyak kenangan manis sepanjang mewakili negara pada era 80-an dan awal 90-an.
Kata Dollah, pasukan yang dibentuk untuk beraksi pada Pestabola Merdeka 1986 juga skuad yang terbaik apabila berjaya tewaskan Jepun di pentas separuh akhir dan Republik Czech di final.
“Detik terbaik adalah masa lawan Jepun, Jepun letak seorang pemain untuk kawal Datuk Zainal (Abidin Hassan), dalam perlawanan itu kita ketinggalan 1-0 di separuh masa.
“Namun, pada separuh masa kedua, Zainal jaringkan gol penyamaan dan saya jaringkan gol kemenangan, the beauty of pasukan 1986 di situ dan di final saya tak sangka kami boleh menang sampai 3-0.
“Saya mengakui ketika itu aura kemerdekaan yang disambut telah menyemarakkan lagi semangat pemain untuk tampil lebih baik di atas padang,” katanya.
Sementara itu, Zainal turut mengakui Pestabola Merdeka boleh memupuk semangat pemain moden kali ini untuk berjuang sepenuh jiwa raga buat negara seperti yang dilakukan oleh pemain-pemain terdahulu.
Malah, Zainan percaya aura Pestabola Merdeka di rantau Asia dulu pernah dianggap seperti Piala Dunia kerana banyak negara berebut untuk menghantar skuad utama mereka.
“Ketika saya sekolah, saya ke stadium untuk melihat legenda seperti Chin Ann serta Datuk Santokh Singh beraksi dan kemudian saya pula dapat panggilan kebangsaan untuk bermain dalam kejohanan ini,” katanya.
Selepas tidak dianjurkan hampir 10 tahun dengan edisi terakhir pada 2013, ramai peminat sukan tanah air meluahkan rasa teruja apabila Persatuan Bola Sepak Malaysiasukan
(FAM) akhirnya mengesahkan penganjuran Pestabola Merdeka pada tahun ini.














