SEGAMAT – Biarpun 66 tahun sudah berlalu, hadiah gelas edisi khas merdeka cetakan wajah Tun Abdul Rahman sempena hari pernikahan masih disimpan rapi.
Abdullah Ismail, 89, dan pasangannya, Zainap Abdul Jalil, 85, sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada hari pengishtiharan merdeka 31 Ogos 1957, namun diawalkan empat hari atas nasihat keluarga.
Menurut pesara guru itu, hadiah gelas tertera wajah Perdana Menteri pertama tersebut merupakan kenangan paling manis dalam hidupnya.
“Saya masih simpan gelas itu sampai sekarang. Ada beberapa biji gelas yang sudah diberikan kepada anak serta cucu,” katanya ketika ditemui di Segamat Baru di sini baru-baru ini.
Cerita warga emas itu, dia sentiasa mengenang pemberian 24 biji gelas itu meskipun isterinya sudah meninggal dunia pada September 2022.
Terdapat dua rekaan gelas edisi khas merdeka iaitu jata negara dengan tulisan Hidop-lah Malaya Merdeka 31st August 1957.
Bagi gelas cetakan wajah Tunku Abdul Rahman, beliau diapit bendera UMNO dan Malaysia.
Sementara itu, cucu Abdullah, Ismail Badrulhisham, 37, memberitahu, dia berasa bangga memiliki dua biji gelas tersebut yang dihadiahkan oleh datuknya sempena hari pernikahannya pada 26 Ogos 2021.
“Pada zaman moden ini, jarang kita berpeluang melihat dan memiliki barangan berkaitan merdeka tahun 1957. Selama 66 tahun mereka menyimpan gelas tersebut dengan rapi. Saya bertuah menjadi generasi ketiga yang menyimpan barangan tersebut.
“Ia akan diwarisi kerana tidak dapat dibeli di mana-mana. Gelas ini bukan sahaja menjadi kenangan hadiah kahwin, tetapi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan ahli keluarga kami,” katanya.














