ALOR SETAR – Kegilaan terhadap media sosial di negara ini menyebabkan ramai rakyat hanya tidur kurang dari enam jam setiap malam akibat penggunaan gajet secara berlebihan.
Kebanyakan mereka mengakui rasa kekok dan serba tidak kena atau gelisah sekiranya tidak melayari media sosial, malah rata-ratanya mengambil masa sehingga empat jam ‘berkepit’ dengan gajet sebelum melelapkan mata.
Ketagihan melayari antaranya Facebook, TikTok menyebabkan ramai daripadanya mengalami gangguan tidur sehingga ada tidur hanya tiga jam dan menghidap insomnia kronik.
Seorang pelatih kecergasan, Nur Afni Sulaiman, 36, mengakui dia tidak boleh berenggang dengan gajet dan hampir setiap masa akan melayari media sosial.
“Saya akan rasa kekok kalau tak pegang gajet kerana setiap masa terluang saya pasti akan layari media sosial.
“Tempoh masa paling lama ketika berbaring di atas katil semasa mahu tidur. Saya pernah layari media sosial dari pukul 11 malam sehingga 3 pagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, ia sudah menjadi rutinnya setiap hari dan hanya akan tidur kurang empat jam sehari kerana perlu bangun seawal pukul 6 pagi untuk menguruskan persekolahan anak lelakinya berusia 10 tahun.
“Bila sudah mula layari media sosial terutama TikTok, rasa mengantuk itu terus hilang dan saya terus leka dengan konten-konten menarik selain menonton ‘live’ jualan produk,” ujarnya.

Menurutnya, keadaan itu telah berlarutan lebih setahun dan sedikit sebanyak menyebabkan dia berasa lesu pada waktu siang.
“Bagi saya, sukar untuk hentikan tabiat ini kerana sudah jadi rutin. Selain itu, menghadap gajet ini sebagai salah satu cara saya untuk berehat,” jelasnya.
Berkongsi pengalaman sama, mahasiswa Muhammad Arman Abdullah, 21, berkata, penggunaan internet sangat penting dalam kehidupan seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
“Saya akui ramai pelajar guna internet untuk buat rujukan bagi melakukan tugasan diberikan pensyarah, namun pada masa sama, banyak layari media sosial.
“Ketika buat tugasan, saya akan ambil kesempatan layari media sosial dan akhirnya leka sehingga berjam-jam lamanya. Paling lama pada waktu malam,” katanya.
Ujarnya, dia lebih gemar melayari media sosial ketika berbaring di atas katil.
“Ketika berbaring itu memang saya mengantuk tetapi bila dah leka melayari TikTok atau Instagram, rasa mengantuk hilang serta-merta dan saya boleh ‘melekat’ di skrin telefon pintar sehingga pukul 3 atau 4 pagi.
“Memang terkejut bila tengok jam sudah pukul 4 pagi, tidak terasa. Konten-konten yang ada itu sangat menarik minat membuatkan saya terus leka,” ujarnya.

Dia turut mengakui ketagih media sosial sehingga menjadikannya sebagai ‘terapi’ ketika mengalami tekanan atau selepas penat belajar.
“Tetapi sebenarnya tidak, masalah tidur akan mengundang banyak penyakit termasuk berkaitan kesihatan mental.
“Semua tahu tetapi ketagihan itu menyebabkan ramai tidak dapat mengelak daripada melayari media sosial,” katanya.
Seorang penjawat awam, Erwan Ahmad, 28, berkata, dia sehingga pukul 2 pagi hampir setiap hari dan pernah cuba untuk tidur awal tetapi sukar.
“Ramai kenalan saya pun kebanyakannya aktif di media sosial pada waktu tengah malam.
“Saya tidak pernah terfikir ia merupakan satu penyakit gangguan tidur dan akan beri kesan serius kepada kesihatan diri. Bagi saya, tidur lewat hanya akan menyebabkan badan jadi tidak bermaya atau mengantuk keesokan harinya,” tambahnya.
Mengikut Kajian Tabiat Tidur Rakyat Malaysia 2018 oleh Nielsen Malaysia, 35 peratus rakyat bermain gajet, menonton televisyen dan mendengar radio sebelum tidur.
Keadaan itu menyebabkan kebanyakan rakyat hanya dapat tidur purata 6.3 jam setiap malam dengan empat daripada 10 orang bangun dalam keadaan mengantuk, penat dan lesu.














