PETALING JAYA – Cuti sekolah yang bermula semalam telah menyebabkan beberapa destinasi pelancongan mula menjadi tumpuan orang ramai terutama di kawasan tanah tinggi dan pulau-pulau.
Tidak kurang juga ramai pelancong tempatan memilih untuk bercuti ke Thailand bagi mencipta kelainan bersama keluarga selain kawasan pelancongan di negara ini yang sentiasa menjadi tumpuan seperti di Cameron Highlands, Pulau Redang, Melaka dan Pulau Pinang.
Di Pahang, Cameron Highlands merupakan destinasi tanah tinggi yang sentiasa jadi tumpuan pelancong setiap kali cuti sekolah dan hujung minggu.
Seorang Pengerusi Inap Desa Kampung Sedia, Tanah Rata, Mohd. Zulkifli Daud berkata, pihaknya terpaksa menolak tempahan berikutan tidak mampu menyediakan penginapan memandangkan bilangan tetamu yang terlalu ramai walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
“Saya boleh katakan permintaan di Cameron Highlands pada musim cuti sekolah kali ini amat memberangsangkan sehinggakan kami tak mampu untuk tampung tempahan yang terlalu banyak.
“Mereka dah mula buat tempahan sejak Julai dan semua inap desa bawah kelolaan saya sudah penuh menjelang pertengahan Ogos. Kebanyakan pelancong datang dari negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.

Di Melaka pula, Pengerusi Persatuan Pengusaha Chalet, Homestay dan Resort Melaka, Zakaria Othman berkata, tempahan itu telah diterima sejak dua bulan lalu dan hampir kesemua penginapan telah penuh bagi hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Bagaimanapun, ujarnya, beberapa lokasi masih mempunyai kekosongan sekitar 10 peratus bagi hari biasa iaitu Isnin sehingga Khamis.
“Musim cuti sekolah, kawasan penginapan di Alor Gajah ini memang penuh terutama pada hujung minggu tetapi kalau hari biasa masih ada kekosongan bilik di beberapa lokasi.
“Tempahan ini telah diterima sejak dua bulan lalu, pengunjung memang suka penginapan di sekitar Pengkalan Balak, Tanjung Bidara dan Kuala Linggi kerana ia berhampiran dengan pantai,” katanya.
Katanya, persatuan itu mempunyai 132 pengusaha chalet, inap desa dan resort dengan jumlah bilik sebanyak 3,500 bilik.

Tempahan hotel di Pulau Pinang pula, terutama yang berdekatan dengan persisiran pantai Tanjong Bunga, Batu Feringghi dan Teluk Bahang di sini sudah pun mencecah 95 peratus.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, kebanyakan hotel di destinasi pelancongan pantai itu mula ditempah sejak minggu lalu sempena Cuti Penggal 2 Sesi Persekolahan 2023/2024, bermula semalam.
Menurutnya, bagi penginapan bertaraf tiga hingga empat bintang yang terletak di pusat bandar George Town pula, tempahannya kini melonjak sehingga 85 peratus.
“Kami pasti, kesemua tempahan hotel yang menempatkan lebih 200 bilik itu akan naik lima peratus lagi mulai hujung minggu ini,” katanya.
Di Terengganu pula, Pulau Redang turut menerima jumlah pelancong yang tinggi kali ini.
Operator resort dan pakej pelancongan Pulau Redang, Azhar Che Razak berpendapat, tarikan istimewa menjelang hari Kebangsaan antara faktor kehadiran pelancong naik dua kali ganda berbanding hari biasa.
“Pelancong memang akan ramai bila cuti sekolah tetapi disebabkan kali ini kita akan menyambut hari kebangsaan, banyak aktiviti yang dirancang iaitu ‘Merdeka Dive’,” jelasnya.















