fbpx
Pergaulan tanpa had mengundang kepada seks bebas dalam kalangan remaja. – Gambar hiasan

Aktiviti seks bawah umur membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Hubungan seks bebas melibatkan golongan di bawah umur semakin berleluasa di Malaysia apabila 115,984 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun mengaku melakukan perbuatan itu sebelum berkahwin.

Lebih membimbangkan apabila 17,011 atau 11 peratus daripada jumlah itu mengaku mempunyai lebih daripada satu pasangan.

Angka itu diperoleh melalui kajian yang dilakukan ke atas 154,646 atau melibatkan 7.6 peratus remaja di seluruh negara oleh Tinjauan Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan 2022 Kementerian Kesihatan.

Daripada jumlah itu, 33 peratus atau 51,033 orang mula me­lakukan hubungan seks sebelum berusia 14 tahun selain 136,088 remaja mengakui tidak menggunakan kondom mahupun apa-apa kaedah perancangan keluarga.

Antara punca gejala buruk itu berlaku adalah disebabkan oleh kewujudan pelbagai aplikasi lucah di media sosial yang memudahkan sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak mendapatkan akses.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, perkembangan psikoseksual remaja dipengaruhi oleh beberapa faktor.

Katanya, antaranya termasuk remaja berada pada tahap genital iaitu fasa menyaksikan kebangkitan seksual, kejantinaan selain keinginan untuk mempraktikkan rasa berahi dengan individu berlainan jenis.

“Kemungkinan lain ialah isu keruntuhan akhlak, masalah komunikasi interpersonal selain pengaruh negatif aplikasi media sosial.

“Selain itu, kewujudan pelbagai aplikasi dating dan dark site turut dilihat menjadi penyebab kepada berlakunya tingkah laku seksual remaja apabila bahan-bahan pornografi mudah untuk diakses,” katanya kepada ­Kosmo!.

Menurut Mohd. Suhaimi, pe­ningkatan jumlah remaja terlibat seks amat membimbangkan ke­rana mengundang kesan negatif termasuk masalah kesihatan dalam jangka masa panjang.

“Antara risikonya ialah di­jangkiti penyakit kelamin dan kehamilan tidak dirancang. Selain itu, mereka akan mengalami tekanan emosi, menyesal dan bersalah apabila hubungan itu berakhir tanpa ikatan yang sah,” katanya.

Jelasnya, aktiviti seksual awal juga berpotensi me­ngalihkan perhatian remaja daripada aspek pelajaran dan perkembangan peribadi mereka.

“Ia mungkin membawa kepada penurunan prestasi akademik dan menghalang keupayaan mereka untuk memberi tumpuan kepada matlamat hidup yang penting.

“Tingkah laku seksual remaja juga disifatkan bertentangan dengan budaya di Malaysia seterusnya berupaya membentuk tanggapan negatif yang boleh yang menjejaskan harga diri dan kesejahteraan golongan itu,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia, Mohamad Shafieq Ishak berkata, aplikasi di media sosial memudahkan lagi remaja mendapatkan maklumat lebih-lebih lagi berkaitan seksual.

“Remaja ingin mencuba sesuatu yang baharu termasuk keghairahan mengetahui tentang perkara-perkara seksual hingga menyebabkan ia diteroka secara sendiri atau bersama rakan yang memberi maklumat salah hingga mendorong kepada seks bawah umur,” katanya.

Menurut Mohamad Shafieq, remaja tidak mendapat panduan daripada segelintir ibu bapa ke­rana perkataan seks masih menjadi tabu dalam masyarakat dan jarang diberi tumpuan mereka.

“Ekoran itu, remaja sukar untuk mendapatkan maklumat mengenainya secara terus termasuk kesan negatif kepada aktiviti itu seterusnya mencari pihak luar seperti rakan online untuk berbicara tentangnya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN