DIDIKLAH, hukumlah anak-anak tetapi janganlah tinggalkan kesan terhadap fizikal dan emosi mereka. Kebelakangan ini masyarakat terkesan dengan beberapa penyebaran kes penderaan kanak-kanak.
Video tular pertama adalah kejadian di Sabah, apabila penjaga di taska memukul, menampar dan menendang seorang kanak-kanak jagaannya.
Dalam kejadian di Johor, sebuah video lagi pula memaparkan jiran-jiran berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki daripada terus-menerus menjadi mangsa dera ibunya dan rakan iaitu seorang wanita berperwatakan ‘tomboi’.
Kedua-dua video ini memualkan. Namun, video kedua tersebut lebih membuatkan penulis ‘murung’.
Terima kasih atas sikap cakna jiran-jiran sehingga berjaya menyelamatkan mangsa. Anda semua hero. Kanak-kanak itu ketika diselamatkan mengalami kecederaan di bahagian belakang badan.
Mengikut pengalaman penulis sepanjang menjadi wartawan, kes penderaan sebegini jika lambat ‘bertindak’, untuk menyelamatkan mangsa banyak kejadian berakhir dengan kematian.
Ketika penulis menjadi wartawan kadet di Meja Jenayah Kosmo! sekitar 2010, terdapat satu kes yang menggemparkan negara. Kes Syafiah Humairah Sahari, 3, yang maut selepas dibelasah di padang bola di Batang Kali.
Dalam satu kejadian lain kira-kira lapan tahun lalu di Pasir Mas, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ‘diselamatkan’ dalam keadaan mengalami kecederaan patah 10 tulang termasuk tulang rusuk, tulang belakang, bahu kanan, selain tulang pinggulnya berubah kedudukan.
Pelbagai kajian dan usul dilakukan ahli akademik serta pihak berwajib dalam menangani pelbagai bentuk penderaan kanak-kanak melibatkan penderaan fizikal, seksual, emosional dan penganiayaan.
Namun kejadian menyayat hati ini tetap dilaporkan dan berlaku saban hari.
Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pada 2022 sebanyak 6,770 kes dilaporkan dengan penderaan seksual paling tinggi iaitu sebanyak 1,168 kes. Angka ini amat menggerunkan.
Malah, negara mencatatkan 220 kes kanak-kanak meninggal dunia akibat penderaan antara 2018 hingga 2022. Tugas menangani isu penderaan ini tidak lain tidak bukan harus kita galas bersama.
Masyarakat perlu main peranan, cakna dan laporlah kepada pihak berkuasa jika berlaku kes penderaan di sekeliling kita. Hanya Allah mampu membalas jasa anda.














