PETALING JAYA – Pelaksanaan undang-undang anti menghendap menerusi Seksyen 507A adalah satu usaha baik, namun pindaannya tidak mampu memberi pembelaan kepada semua kes menghendap di negara ini kerana mempunyai limitasi tersendiri.
Menurut peguambela dan peguamcara, Azrin Zahri, seksyen itu memperuntukkan hanya bahan bukti yang bertarikh pada dan selepas penguatkuasaan undang-undang sahaja boleh dikemukakan untuk sebarang pendakwaan atau siasatan.
“Disebabkan sifat undang-undang ini tidak retrospektif (pada tarikh tertentu), sebarang bukti yang wujud sebelum tarikh ia dikuatkuasakan iaitu pada 31 Mei 2023 tidak boleh diguna pakai oleh pihak pendakwaan atau mangsa,” katanya kepada Kosmo!
Kelonggaran ini seolah-olah tidak akan memberi sinar harapan bagi kes hendap yang dialami mangsa secara bertahun-tahun sebelum undang-undang ini dilaksana di Malaysia.
“Bagaimanapun, definisi menghendap meliputi perbuatan berulang, maka apa-apa bukti yang ada pada dan selepas tarikh kuat kuasa sepatutnya masih boleh dikemukakan dan digunapakai,” ujarnya.
Tambahnya, penggunaan seksyen ini dalam sebarang pendakwaan perlu diperjelas semula dengan lebih lanjut bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kepada pihak berkuasa dan orang awam.
“Bagaimana pula dengan panggilan telefon berulang-ulang oleh ejen pemungut hutang?
“Ada sesetengah kes sehingga mewujudkan ketakutan dan tekanan.
“Bolehkah seksyen ini diguna pakai untuk mendakwa atau terdapatnya pengecualian. Maka ini yang perlu dijelaskan terutamanya kepada rakyat dan pihak-pihak berwajib,” ujarnya.
Dalam pada itu, pegawai Advokasi Kanan, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Zati Hanani berpendapat, limitasi dalam pelaksanaan undang-undang anti menghendap wajar dikaji semula selain ditambah baik demi kepentingan semua pihak.
“Permasalahan ini lebih kepada tahap pelaksanaan undang-undang itu sendiri, terutamanya bagi kes menghendap kerana bahan bukti yang diperoleh sebelum tarikh kuat kuasa berkemungkinan untuk tidak diambil kira oleh pihak berkuasa,” jelasnya.
Selain itu katanya pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu meningkatkan kesedaran mengenai penguatkuasaan pindaan baharu ini.
“Kurangnya kesedaran tentang jenayah menghendap mungkin menyebabkan pihak polis untuk tidak memproses kes menghendap tambahan pula, bukti yang patut dipermukakan adalah bukti selepas 31 Mei lalu,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, lelaki berusia 37 tahun yang didakwa mengganggu jurugambar wanita selama lapan tahun menjadi individu pertama dituduh dibawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan.
Di bawah Seksyen 507A baharu, sesiapa yang berulang kali melakukan sebarang tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan atau mengetahui bahawa berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya, boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap.
Mana-mana individu yang didapati bersalah dalam kes tersebut, berhadapan dengan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.














