fbpx

PRN: BN-PH tunggu keputusan sebelum umum calon MB Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid berucap pada Program Desa Cerdas Kemas di Taman Nilam, Ayer Hangat di Langkawi, hari ini.

LANGKAWI – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mendedahkan calon Menteri Besar gabungan itu di Kedah meskipun yakin mampu membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka memiliki calon yang berwibawa untuk mengemudi negeri ini.

Namun katanya, fokus ketika ini perlu diberikan kepada usaha untuk mencapai sekurang-kurangnya majoriti mudah yang diperlukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

“Dari segi itu apa yang penting kita cukupkan (jumlah) kerusi dulu kepada 19 atau lebih daripada itu. Insya-Allah kita ada calon walaupun kita tak umumkan.

“Kesepakatan ini kami telah capai tetapi kita tidak umumkan (lebih awal). Kita tidak mahu mendahului takdir ataupun kuasa Allah. Bila kita capai jumlah itu, insya-Allah kita akan umumkan,” katanya ketika diminta mengulas siapa calon Menteri Besar Kedah susulan momentum sokongan kepada BN dan PH yang dikatakan semakin memihak kepada mereka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Desa Cerdas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Taman Nilam, Ayer Hangat di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH dan BN yakin mampu menawan 19 kerusi DUN Kedah berdasarkan sambutan pada hujung minggu pertama kempen serta gerak kerja jentera menyampaikan mesej kepada rakyat.

Ketika ditanya sama ada calon Menteri Besar yang sudah diputuskan itu akan datang daripada BN atau PH, Ahmad Zahid berkata, calon tersebut berdasarkan persetujuan kedua-dua gabungan.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu yang ‘gila talak’ apabila terus mencampuri urusan UMNO. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI