KUANTAN – Penempatan jauh, terpencil dan tiada pembangunan antara sebab golongan doktor muda menolak ditempatkan di daerah-daerah lain di negeri ini selain Kuantan.
Malah, anak kecil juga dijadikan alasan utama agar mereka tidak dihantar ke daerah yang jauh dari kawasan bandar.
Seorang doktor muda yang ingin dikenali sebagai Feq berkata, dia terpaksa menolak penempatan baharu memandangkan daerah itu terlalu jauh dari kawasan pembangunan.
“Saya tiada masalah untuk menjalankan tugas tetapi kalau boleh di daerah Kuantan. Penempatan baharu itu banyak lagi kekurangan bukan sahaja dari segi kemajuan daerah terbabit tetapi juga kekurangan fasiliti di klinik kesihatan.
“Banyak saya dengar para doktor atau jururawat yang mengeluh dengan kekurangan itu dan bila dipanjangkan ke pihak atasan, tiada tindakan. Jadi, tiada sebab untuk saya bertugas di sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Ujarnya, buat masa ini, dia sedang dalam proses untuk pertukaran penempatan dan pilihan utama semestinya di Kuantan.
Feq berkata, memandangkan situasi itu tidak menyenangkan emosinya, dia gagal memberikan komitmen yang baik dan berharap, pihak kementerian atau jabatan mengambil kira perkara itu.
Sementara itu, seorang lagi doktor yang dikenali sebagai Elly berkata, dia tiada masalah dengan penempatan baharu seperti yang diarahkan pihak kementerian.
Katanya, walaupun sudah berkeluarga, dia sanggup berpindah, malah suaminya juga turut bertukar ke penempatan baharu.
“Kami menjalankan amanah yang diberikan. Mana pun penempatan yang diarahkan, kami pergi sebab saya yakin, kerja di mana-mana pun sama sahaja.
“Walaupun ditempatkan di daerah terpencil, anak-anak masih boleh bersekolah, tiada masalah pun. Yang membezakan cuma sekolah bandar dan sekolah kampung sahaja,” katanya.
Tambah Elly, golongan doktor muda tidak sepatutnya terlalu ‘demand’ untuk ditempatkan di Kuantan sahaja, memandangkan banyak lagi daerah lain yang masih kekurangan tenaga doktor perubatan di klinik kesihatan atau hospital daerah.
Dalam pada itu, menurut satu sumber, akibat tidak sukakan penempatan di luar bandar, ada antara doktor muda bertugas sambil lewa dan rela dikenakan tindakan agar mereka dapat dipindahkan.
Katanya, keadaan ini sebenarnya harus ditangani memandangkan ia memberikan kesan kepada perkhidmatan kesihatan khususnya kepada masyarakat luar bandar.
Di Kuala Terengganu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kerap menghadapi dilema ramai kakitangannya enggan berpindah setiap kali berlaku proses penempatan semula.
Menurutnya, banyak rayuan diterima memohon dikecualikan dalam penempatan semula kerana sudah selesa berkhidmat di fasiliti kesihatan sedia ada.
“Masalah dihadapi di Terengganu, sebaik doktor muda itu ditempatkan di mana-mana hospital dan klinik kesihatan, dia mahu kekal sampai bila-bila.
“Sukar untuk melakukan penempatan semula walaupun melibatkan antara daerah di negeri ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dr. Kasemani berkata, ia mungkin disebabkan mereka sudah selesa berkhidmat di fasiliti kesihatan sedia ada selain isu peribadi dan keluarga.
Beliau memberitahu, isu doktor muda enggan ditempatkan di kawasan pedalaman tidak begitu ketara di negeri itu.
“Boleh dikatakan tiada fasiliti kesihatan merangkumi hospital, klinik kesihatan dan klinik desa di Terengganu terletak terlalu jauh di pedalaman.
“Kebanyakannya juga mempunyai jaringan jalan raya yang baik,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















